Abang Jo dijangka bincang isu penting Sarawak dengan Anwar


Desmond Davidson

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Abdullah Saidol berkata isu penggunaan bahasa Inggeris, kebebasan beragama dan Perjanjian Malaysia 1963 akan dibangkitkan Premier Abang Johari Openg dalam pertemuan rasmi dengan Anwar Ibrahim nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

PENDIRIAN Sarawak berhubung penggunaan bahasa Inggeris, kebebasan beragama dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum selesai antara yang akan dibincangkan Premier Sarawak Abang Johari Openg dalam pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Abdullah Saidol.

Tarikh pertemuan itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan lagi, katanya, menambah ia akan dibuat dalam masa terdekat.

Abdullah berkata isu-isu ini runcing dan perlu dibangkitkan kerana Putrajaya perlu diingatkan tentang pendirian Sarawak ini agar tidak berlaku salah faham.

“Perlembagaan negeri kita jelas. Kami tak ada bahasa rasmi dan tak ada agama rasmi,” katanya.

Oleh itu Putrajaya perlu menghormati perlembagaan negeri, tambahnya.

Pada 2015, Sarawak menerima pakai bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pentadbiran negeri, selain bahasa Malaysia yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan.

Tindakan itu tidak berjalan lancar berikutan bangkangan daripada kumpulan ultra Melayu dan haluan kanan Melayu di Semenanjung.

Penggunaan bahasa Inggeris Sarawak juga dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 161 perlembagaan persekutuan, menyatakan Sarawak bebas untuk terus menggunakan bahasa Inggeris dan juga bahasa ibundanya bersama-sama dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara rasmi.

Tahun lepas, bekas menteri parlimen dan undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak tidak meluluskan sebarang ordinan atau enakmen dalam perundangan negeri untuk menyekat atau menamatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya seperti yang dinyatakan dalam Perkara 161(3) Perlembagaan Persekutuan, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan laporan Suruhanjaya Cobbold.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia Jayum Jawan mengakui penganut Kristian dan bukan Islam di Sarawak memang betul-betul bimbang dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

Abdullah berkata pihaknya tidak bertolak ansur dengan sikap tidak menghormati perlembagaan Sarawak, haknya, dan tidak tunaikan janji berkaitan isu tertangguh MA63.

Menegakkan kebebasan beragama dan kepelbagaian budaya dan amalan adat pelbagai kaum di Sarawak merupakan salah satu syarat yang ditetapkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila Abang Johari bertemu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada pagi selepas pilihan raya umum ke-15.

Namun, sikap GPS yang cenderung kepada PN yang turut disertai PAS dan matlamat mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, menyebabkan penduduk bukan Islam Sarawak tidak puas hati dengan PN.

PAS menang 49 kerusi Parlimen pada PRU15, melebihi jumlah kerusi dimenangi parti utama PN iaitu Bersatu.

Muhyiddin juga tidak memikat hati rakyat Sarawak selepas beliau menyeru pengundi di Muar, Johor semasa kempen menolak Pakatan Harapan dengan mendakwa gabungan pimpinan Anwar disokong oleh Yahudi dan Kristian.

Bimbang dengan pengaruh PAS

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia Jayum Jawan mengakui penganut Kristian dan bukan Islam di Sarawak memang betul-betul bimbang.

“Ia didokumentasikan dengan baik dengan cara pihak berkuasa menangani banyak isu yang melibatkan hal ehwal Kristian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar tadbir urus Asia Universiti Tasmania James Chin bersetuju, berkata PAS perlahan-lahan cuba bertapak di Sabah dan Sarawak.

“Di tengah-tengah retorik anti-PAS ini, orang lupa PAS sentiasa meletakkan calon di Sarawak, walaupun calon-calon itu teruk dan kehilangan wang deposit.

“Tetapi mereka sentiasa ada calon. Di Sabah, mereka sudah ada wakil rakyat yang dipilih.”

Chin juga berkata dalam masyarakat Islam Sarawak, “selalu ada kumpulan kecil yang percaya hujah agama PAS”.

Beliau berkata PAS bukan masalah di Malaysia Barat sahaja.

Namun begitu, Abdullah menjelaskan isu yang Abang Johari akan bangkitkan bukanlah prasyarat untuk sokongan GPS kepada PH.

“Kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan yang sedang dibentuk. Kita tidak mahu kembali ke zaman kita mempunyai tiga perdana menteri dalam satu penggal.

“GPS telah menjelaskan kedudukannya. Kami mahu kerajaan persekutuan yang stabil, politik negara yang stabil dan kabinet persekutuan yang mempunyai orang yang berkebolehan yang boleh menangani krisis ekonomi semasa yang sedang dihadapi negara.

“Ia dijangka lebih bergelora tahun depan.” – 26 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen