25 maut trak dalam perjalanan ke majlis kahwin terbalik di India


Orang ramai membantu mangsa yang terbabit dalam kemalangan trak di Bhavnagar, India. Kira-kira 60 orang berada dalam trak dan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. – Gambar AFP, 5 Mac, 2018.

TRAK yang dalam perjalanan ke sebuah majlis perkahwinan menjunam dari jambatan awal Selasa di barat India membunuh sekurang-kurangnya 25 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, kata para pegawai.

Siasatan awal menunjukkan pemandu hilang kawalan menyebabkan trak itu terbabas dari jambatan dan jatuh sejauh lapan meter (26 kaki) ke tebing sungai di negeri Gujarat, kata polis.

“Sekitar 60 orang berada dalam trak dan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak,” pemeriksa polis Gujarat K.J. Kadapda memberitahu AFP.

Pegawai berkata jumlah kematian mungkin bertambah kerana kebanyakan penumpang terperangkap di bawah trak yang terbalik. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Kemalangan itu berlaku di daerah Bhavnagar, sekitar 200 kilometer (125 batu) dari ibu kota Ahmedabad.

India mempunyai beberapa jalan yang paling berbahaya di dunia.

Lebih 150,000 orang terbunuh setiap tahun dengan kebanyakan kemalangan berpunca daripada keadaan jalan yang teruk, kenderaan tidak diselenggara dengan baik dan pemanduan yang melulu. – AFP, 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen