Kanak-kanak 7 tahun maut dalam gempa bumi di Indonesia


Gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat baru-baru ini disifatkan terburuk di Indonesia selepas gempa bumi dan tsunami Sulawesi pada 2018 yang meragut kira-kira 4,340 nyawa. – Gambar AFP, 25 November, 2022.

MISI mencari seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dalam kejadian gempa bumi akhirnya berakhir apabila dia ditemui maut dalam kejadian yang turut mengorbankan sekurang-kurangnya 272 penduduk di Jawa Barat, kata penyelamat kepada AFP hari ini.

Petugas kecemasan menemui mayat Ashika Nur Fauziah yang juga dikenali sebagai Cika di bawah runtuhan di daerah paling teruk terjejas di bandar Cianjur.

“Mayat segera diserahkan kepada keluarga mangsa,” kata penyelamat berusia 28 tahun, Jeksen Kolibu kepada AFP.

Berpuluh-puluh penyelemat berusaha mencari mangsa yang tertimbus semalam menggunakan alat menggali, tukul dan tangan mereka.

Cika ditemui di bawah tiga lapisan konkrit pada pagi tadi, kata Kolibu.

Pekerja mendapati kanak-kanak itu berada dalam keadaan tertunduk dengan sedikit ruang untuk bernafas.

Cika dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran tidak sampai sejam selepas ditemui. – AFP, 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen