Tekanan inflasi luaskan jurang sosial dan ekonomi Jerman, kata pakar


Kesan inflasi tiga kali ganda lebih terhadap golongan berpendapatan rendah di Jerman berbanding golongan berpendapatan tinggi, menurut pakar ekonomi. – Gambar EPA, 25 November, 2022.

EKONOMI Eropah yang mencatatkan rekod tertinggi inflasi telah menyebabkan rakyat berpendapatan rendah terjejas teruk, lapor Xinhua memetik Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi Jerman Marcel Fratzscher pada Khamis.

“Jurang sosial semakin melebar pada masa ini berbanding semasa pandemik,” kata Fratzscher kepada media Jerman.

Beliau berkata memandangkan golongan berpendapatan rendah membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk bekalan asas seperti tenaga dan makanan, mereka merasakan kesan inflasi tiga kali ganda lebih berbanding golongan berpendapatan tinggi.

“Trend yang sama juga boleh dilihat dalam kalangan syarikat Jerman. Sesetengah pemain industri utama memperoleh keuntungan besar pada masa ini manakala banyak syarikat bersaiz sederhana semakin tenat,” kata Fratzscher.

Satu kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi dan Sosial di Yayasan Hans Boeckler yang diterbitkan pada Khamis mendapati jurang kewangan antara isi rumah di bawah garis kemiskinan dan pertengahan semakin melebar dengan ketara sebelum permulaan pandemik Covid-19.

“Perkembangan ini satu kedudukan permulaan yang sangat lemah untuk ujian tekanan sosial yang berterusan disebabkan pandemik, konflik Rusia-Ukraine dan rekod inflasi,” menurut yayasan itu.

Menurut Pejabat Perangkaan Persekutuan inflasi di Jerman meningkat kepada 10.4 peratus pada Oktober, paras tertinggi sejak 1990.

Perkembangan itu didorong terutamanya oleh kenaikan harga tenaga dan makanan yang masing-masing melonjak sebanyak 43 peratus dan 20 peratus tahun ke tahun. – Bernama, 25 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen