GRS masuk kerajaan perpaduan, umum Anwar


Kerajaan kini mempunyai kekuatan dua pertiga di Dewan Rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar Jabatan Penerangan, 25 November, 2022.

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akan menyertai kerajaan perpaduan dan menjadikan kerajaan kini mempunyai majoriti dua pertiga, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Persetujuan GRS dinyatakan oleh pengerusinya Hajiji Noor, katanya.

“Datuk Hajiji telah memaklumkan bahawa GRS secara rasmi akan menyertai kerajaan perpaduan. 

“Ini bermakna kekuatan induk kita sudah mencecah dua pertiga ahli Parlimen yang akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpu perhatian dalam kerajaan,” katanya pada sidang media selepas masuk ke pejabat di Putrajaya, hari ini.

Semalam Anwar dilantik perdana menteri yang baharu selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan setelah tiada mana-mana gabungan politik mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setakat semalam, kerajaan perpaduan yang dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar juga semalam menjemput Perikatan Nasional (PN) yang menang 73 kerusi pada pilihan raya umum lepas untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata pihaknya akan menimbang tawaran itu. PAS, parti yang menang 43 daripada 73 kerusi PN, juga berkata tawaran itu akan dibincangkan bersama dalam gabungan, menurut setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

GRS dibentuk bersama tiga komponen PN di Sabah iaitu Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) bersama dua parti tempatan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Pada PRU15, GRS membentuk pakatan dengan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan dua gabungan itu tidak bertembung di kerusi sama.

Kabinet kecil, kurang gaji menteri

Sementara itu, Anwar mengulangi hasratnya mahu membentuk sebuah Kabinet yang kecil manakala gaji menteri akan dipotong.

“Saya minta ahli-ahli Kabinet yang baharu setuju dengan usul saya untuk mengurangkan gaji mereka tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan,” katanya.

Anwar pertama kali menyuarakan hasratnya semasa Konvensyen PH di Ipoh pada 20 Oktober dan kemudian diulang di sepanjang kempen PRU15.

Mengenai pelantikan menteri, Anwar berkata sebagai sebuah kerajaan perpaduan beliau perlu merujuk dan menimbang cadangan setiap parti yang bersama dalam kerajaan. – 25 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen