Singapura sumbang AS$100,000 untuk mangsa gempa bumi di Cianjur


Gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat baru-baru ini disifatkan terburuk di Indonesia selepas gempa bumi dan tsunami Sulawesi pada 2018 yang meragut kira-kira 4,340 nyawa. – Gambar Facebook, 25 November, 2022.

SINGAPURA akan menyumbang AS$100,000 kepada Palang Merah Singapura (SRC) dalam menyokong usaha menyalurkan bantuan bencana dan kemanusiaan ke Jawa Barat, Indonesia susulan kejadian gempa bumi pada Isnin.

“Sumbangan Singapura akan membantu rayuan SRC sebanyak AS$50,000 bagi menyokong keperluan segera terhadap mereka yang terjejas akibat gempa bumi, termasuk keperluan makanan, bantuan perubatan dan tempat perlindungan,” menurut Kementerian Luar republik itu dalam satu kenyataan.

Menurut laporan pada Rabu, angka kematian akibat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang melanda daerah Cianjur, Jawa Barat meningkat kepada 271 manakala 40 masih hilang.

Sekurang-kurangnya 2,043 cedera dan 61,908 ditempatkan di pusat pemindahan selepas 56,320 kediaman rosak.

Gempa bumi baru-baru ini disifatkan yang terburuk di Indonesia selepas gempa bumi dan tsunami Sulawesi pada 2018 yang meragut kira-kira 4,340 nyawa. – Bernama, 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen