Ketua Parlimen Asean ikrar jadikan rantau itu lebih inklusif


Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Gambar fail EPA, 25 November, 2022.

PEMIMPIN Parlimen Asean menyatakan komitmen politik mereka secara kolektif untuk membangunkan komuniti Asean yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan, kata Presiden Dewan Negara Kemboja Samdech Heng Samrin, lapor Xinhua.

Komitmen itu dibuat pada Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) Ke-43 di Phnom Penh, ibu negara Kemboja.

Berucap pada majlis penutupan itu, Samrin yang juga pengerusi Perhimpunan Agung AIPA ke-43 berkata sepanjang mesyuarat lima hari itu, ketua Parlimen Asean menunjukkan semangat perpaduan dan kesepaduan.

“Perpaduan dan pemusatan Asean dipertingkatkan,” katanya sambil menambah “Kami berkumpul untuk berkongsi idea, menghasilkan penyelesaian dan cadangan dasar serta menyuarakan komitmen politik kolektif kami untuk membangunkan komuniti Asean yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.”

Samrin berkata Perhimpunan Agung AIPA ke-43 itu membuktikan prinsip perundingan dan membuat keputusan berasaskan konsensus kekal sebagai asas kepada perpaduan dan pemusatan Asean.

“Kami juga melihat empat prinsip iaitu saling menghormati, saling memahami, saling mempercayai, dan kepentingan bersama untuk keamanan dan kemakmuran, penting untuk integrasi serantau dan pembinaan masyarakat,” katanya.

Bercakap mengenai keputusan Perhimpunan Agung AIPA ke-43, Samrin berkata mesyuarat itu mencapai hasil yang ketara daripada segi kualiti perbincangan, kuantiti resolusi yang diterima pakai dan persahabatan peribadi.

“Kami berbangga dengan hasil luar biasa ini dan ini tidak mungkin dicapai tanpa penyertaan aktif dan sumbangan berharga yang dibuat semua perwakilan,” katanya.

Samrin berkata AIPA, badan perundangan yang mewakili kehendak dan kepentingan lebih 650 juta penduduk di Asean, memain peranan penting dalam merealisasikan Asean yang benar-benar berorientasi dan berpaksikan rakyat.

“Saya berharap keputusan yang kita capai pada Perhimpunan Agung AIPA ke-43 ini dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit,” katanya.

“Kami melakukan yang terbaik untuk menyantuni kepentingan rakyat kami.”

Pada akhir mesyuarat, Samrin menyerahkan jawatan pengerusi AIPA kepada Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Puan Maharani, yang akan mempengerusikan Perhimpunan Agung AIPA ke-44 pada 2023.

Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen