GPS akur titah Agong sertai kerajaan perpaduan, kata Abang Johari


Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan semalam supaya GPS mempertimbangkan untuk bersama-sama gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk menyertai kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim kerana akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Pengerusinya Abang Johari Openg berkata Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan semalam supaya GPS mempertimbangkan untuk bersama-sama gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan perpaduan itu. 

“Kita akurlah. Anda kena ingat, kita adalah (negara) raja berperlembagaan dan (dalam) kita punya Rukun Negara, kita mesti taat (kesetiaan) kepada raja,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan GPS di Kuching hari ini. 

Sementara itu beliau yang juga premier Sarawak menyerahkan kepada Anwar untuk menentukan jumlah wakil GPS yang akan menyertai Kabinet memandangkan perkara itu merupakan prerogatif beliau (Anwar) sebagai perdana menteri. 

Ditanya jika Anwar akan datang ke Sarawak, kunjungan pertama sebagai perdana menteri dalam masa terdekat ini, Abang Johari berkata: “Sik payahlah saya madah dengan kitak orang. Ya antara kamek dengan nya lah (Tak payahlah saya maklumkan kepada anda semua. Itu antara saya dan dia (Anwar)”. – Bernama, 24 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen