BADAN pengawal media Rwanda mengatakan agensi pilihan raya negara itu tidak mempunyai mandat untuk mengawal media sosial yang digunakan calon presiden, tindakan yang dianggap mengancam kebebasan bersuara.
Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) memutuskan bulan lepas yang sebaik sahaja kempen bermula pada 14 Julai depan, semua catatan media sosial calon presiden perlu dihantar kepada mereka untuk diluluskan sebelum boleh disiarkan.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Pengawalan Utiliti Rwanda (RURA) yang mempunyai kuasa memantau media, mengatakan dalam kenyataan pada Rabu mengatakan NEC tidak “mempunyai mandat untuk mengawalselia atau menganggu penggunaan media sosial rakyat negara itu.”
“RURA selaku badan pengawal tidak pernah mengadakan perbincangan dengan NEC tentang perkara ini dan mahu mengesahkan hak setiap rakyat untuk bersuara di media sosial…asalkan menghormati undang-undang sedia ada,” tulis jurucakapnya Anthony Kulamba.
Arahan itu mencetuskan bantahan banyak pihak, dengan pihak pembangkang melihatnya sebagai cubaan untuk menyekat kritikan kepada Presiden Paul Kagame dan Duta Amerika Syarikat Erika Barks-Ruggles menyifatkannya sebagai “sekatan yang cukup, cukup serius kepada kebebasan bersuara.”
Sejak tamatnya perang pembersihan etnik pada 1994 yang menyaksikan hampir 800,000 rakyat berketurunan Tutsi mati dibunuh, Rwanda seringkali menerima pujian kerana prestasi dan kestabilan ekonominya. Bagaimanapun, negara itu seringkali dikecam kerana menyekat kebebasan politik.
Setakat ini hanya empat calon mengisytiharkan hasrat mereka bertanding untuk menentang Kagame dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos depan.
Kagame sudah berkuasa sejak 1994 dan berkhidmat sebagai presiden selama tujuh penggal.
Sebelum ini Kagame memenangi pilihanraya dengan meraih 90 peratus undi. – AFP, 1 Jun, 2017.
Komen