PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim telah sampai di Istana Negara pukul 4.32 petang ini bagi istiadat angkat sumpah jawatan perdana menteri ke-10.
Ahli Parlimen Tambun itu dilihat masuk ke perkarangan istana bersama isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan menaiki kereta BMW berwarna hitam.
Awal petang ini, Yang di-Pertuan Agong, selepas memperhalusi pandangan Raja-Raja Melayu, berkenan mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadli Shamsuddin berkata pengurniaan suratcara pelantikan, istiadat angkat sumpah jawatan, sumpah setia dan sumpah simpan rahsia perdana menteri akan berlangsung pada pukul 5 petang di Istana Negara hari ini.
Parlimen Malaysia tergantung selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lepas.
Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 kerusi, Barisan Nasional 30, Gabungan Parti Sarawak 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah enam kerusi, Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu). – 24 November, 2022.
Komen