Anwar Ibrahim: Dulu 'PM Tepi' kini PM10


Alfian Z.M. Tahir Ravin Palanisamy

Anwar Ibrahim akhirnya dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kesepuluh selepas hampir 25 tahun perjalanan politiknya penuh berliku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 November, 2022.

SELEPAS hampir 25 tahun, Anwar Ibrahim akhirnya dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kesepuluh.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara kira-kira jam 5.06 petang tadi.

Pelantikan itu memecah kebuntuan yang berlarutan empat hari sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lalu susulan tiada mana-mana gabungan menang majoriti mudah.

Anwar yang sering dilabel sebagai “PM Tepi” kini secara rasmi mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesepuluh hari ini, selepas Barisan Nasional (BN) setuju untuk menyertai kerajaan perpaduan atas saranan  Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada PRU15 Sabtu lepas Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 73 kerusi, BN (30) dan Gabungan Parti Sarawak (23).

Pelantikan Anwar sebagai perdana menteri kesepuluh sudah pasti jadi detik penentu bagi kerjaya politiknya selama puluhan tahun yang penuh berliku.

Kebangkitan Anwar Ibrahim

Anak kelahiran Cherok To’kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini terkenal sejak zaman mahasiswa di Universiti Malaya sejak 60-an, kemudian mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan menjadi presiden organisasi itu selama lapan tahun.

Penyertaannya ke dalam Umno pada 1982 selepas menerima pelawaan Dr Mahathir Mohamad mengejutkan ramai pihak. Beliau pernah memegang jawatan menteri Kabinet antaranya menteri kewangan sebelum dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 1993, hanya dalam tempoh 11 tahun menyertai Umno.

Beliau sering disebut-sebut sebagai bakal pengganti perdana menteri iaitu Dr Mahathir sehinggalah dipecat pada 1998 ekoran dakwaan rasuah, kemudian dihukum penjara atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa. 

Anwar dihukum penjara enam tahun atas tuduhan rasuah dan sembilan tahun bagi kesalahan liwat.

Pemecatan dan pemenjaraan Anwar mencetus gerakan 'Reformasi'. – Gambar AFP, 24 November, 2022.

Reformasi

Pemecatan dan pemenjaraan Anwar mencetus gerakan “Reformasi” kerana penyokongnya melihat semua tuduhan sengaja direka Dr Mahathir. Hasil dari gelombang Reformasi ini jugalah tertubuhnya Parti Keadilan Nasional yang kemudian dijelmakan sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dari 1999 hingga 2002, penyokong Anwar mengadakan himpunan jalanan hampir setiap minggu. Ramai yang terlibat dipenjarakan di Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Anwar dibebaskan pada 2004 ketika kerajaan di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih tugas perdana menteri selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan pada 2003.

Beliau muncul semula dalam arena politik sebagai ketua pembangkang dari 2008 hingga 2015. Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Gabungan Rakyat pimpinan Anwar berjaya menghalang Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali.

Tuduhan liwat kedua

Tidak cukup dipenjarakan kali pertama pada 1998, Anwar sekali lagi dituduh atas dakwaan liwat empat tahun selepas dibebaskan dari penjara. Pada 2008 pembantunya Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis, mendakwa diliwat presiden PKR itu. 

Pada 2012, hampir dua tahun selepas perbicaraan berlangsung, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan tuduhan terhadap Anwar selepas Hakim Zabidin Mohamad Diah memutuskan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikemukakan pihak pendakwa diragui kesahihannya. Pihak pendakwa bagaimanapun memfailkan rayuan pada 2014.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana bersalah meliwat Saiful Bukhari. Anwar dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh pada 2015.

Pengampunan diraja

Anwar dibebaskan pada 2018 selepas mendapat pengampunan diraja  daripada Yang di-Pertuan Agong berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14. Dr Mahathir jadi perdana menteri ketika PH mentadbir Putrajaya.

Anwar kemudian bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dan menang dengan majoriti 23,560 undi. Pilihan raya itu diadakan selepas Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusi Port Dickon bagi memberi laluan kepada Anwar untuk jadi ahli Parlimen dan seterusnya perdana menteri menggantikan Dr Mahathir.

Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dan menang dengan majoriti 23,560 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

Langkah tersebut bagaimanapun tidak dipersetujui sesetengah pihak dalam Bersatu pimpinan Dr Mahathir, yang ketika itu parti komponen dalam PH. Turut menentang adalah bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Pertikaian ini seterusnya membawa kepada peristiwa ‘Langkah Sheraton’, gerakan di mana sekumpulan ahli Parlimen PH membentuk jajaran baharu politik bersama ahli-ahliParlimen Umno dan PAS.

Tindakan Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin bersama sekumpulan ahli Parlimen PKR keluar parti menyebabkan Dr Mahathir melepaskan jawatan dan kerajaan PH tumbang. Muhyiddin seterusnya dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

PRU15

Anwar dan PH bertanding dalam pilihan raya umum kali ini dengan matlamat untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan BN/PN.

Pada PRU15 minggu lepas, PH menang 83 kerusi, diikuti PN yang memperoleh 73 kerusi manakala BN hanya menang 30 kerusi. Tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah.

Pada PRU15 PH menang 83 kerusi tetapi tidak memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

Istana Negara kemudian meminta ketua parti dan ketua gabungan yang memiliki jumlah kerusi Parlimen yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak istana berhubung gabungan yang telah dipersetujui untuk membentuk kerajaan baru. 

Mereka juga diminta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu, Anwar berkata baginda mencadangkan agar PH dan PN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan, tetapi Muhyiddin menolak.

Hari ini, selepas rundingan dengan gabungan politik lain, Anwar akhirnya dilantik jadi perdana menteri 24 tahun selepas beliau dipecat dari Umno. – 24 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen