POLIS akan melupuskan pelbagai dadah bernilai RM47 juta membabitkan 4,399 kertas siasatan yang telah selesai bagi 2008 hingga tahun ini, kata Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun.
Beliau berkata kesemua dadah itu mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan berikutan prosiding mahkamah telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah terbabit tamat.
“Antara dadah itu ialah heroin, methamphetamine, kanabis, ekstasi dan syabu, yang akan dilupus esok di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Zaki berkata kesemua dadah itu diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 dan Akta Racun dengan kos pelupusan sebanyak RM35,000.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan merekodkan 9,018 kes membabitkan 11,115 tangkapan dan rampasan dadah bernilai RM49.83 juta sejak Januari hingga Oktober tahun ini.
Beliau berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut menyita aset pengedar berjumlah RM3.9 juta dan mengambil tindakan terhadap 511 orang penagih tegar mengikut Seksyen 39C ADB 1952. – Bernama, 24 November, 2022.
Komen