Bintang BTS mulakan latihan tentera Korea Selatan bulan depan


BTS akhirnya akan menyertai latihan wajib perkhidmatan tentera yang dimulakan dengan kemasukan Jin pada bulan depan. – Gambar AFP, 24 November, 2022.

AHLI tertua dalam kumpulan K-pop terkenal BTS akan memulakan latihan perkhidmatan ketenteraannya pada 13 Disember, menjadi yang pertama dalam kumpulan itu untuk mendaftar, lapor media tempatan pada Khamis.

Semua lelaki Korea Selatan yang sihat tubuh badan di bawah umur 30 tahun wajib menjalani perkhidmatan tentera kira-kira dua tahun, terutamanya kerana negara itu secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Utara yang bersenjata nuklear.

Ini bermakna tempoh semakin hampir untuk Jin yang berusia 29 tahun, ahli kumpulan K-pop popular itu.

Beliau akan memulakan latihan mandatori lima minggu di Yeoncheon di wilayah Gyeonggi sebelum ditempatkan ke “unit barisan hadapan”, lapor agensi berita Yonhap, memetik sumber tentera dan industri.

Penyanyi itu sebelum ini pernah membayangkan di media sosial beliau ditugaskan ke barisan hadapan.

Berita itu membuatkan peminat terharu dan emosi, malah ada yang menyatakan kebimbangan tentang keselamatan Jin.

“Saya terkejut apabila membaca beliau akan ditempatkan di barisan hadapan,” tulis seorang peminat di Twitter. 
Seorang lagi peminat menulis: “Saya tidak boleh tidak fikir mereka menghantarnya ke tempat paling menakutkan sebagai hukuman.”

BTS menjana berbilion-bilion untuk ekonomi Korea Selatan, dan label mereka menikmati lonjakan keuntungan walaupun mengadakan hanya sedikit konsert semasa pandemik koronavirus.

Tetapi prospek perkhidmatan ketenteraan mandatori sekian lama berlegar membabitkan bintang K-Pop, dan mencetuskan perdebatan selama bertahun-tahun di Korea Selatan sama ada mereka layak mendapat pengecualian—yang diberikan kepada pemuzik klasik dan pemenang pingat Olimpik, sebagai contoh.

Agensi mereka mengumumkan bulan lepas ahli kumpulan akan menjalankan perkhidmatan ketenteraan wajib mereka, bermula dengan Jin.

Menteri pertahanan Seoul berkata pada Ogos yang BTS mungkin dibenarkan untuk terus membuat persembahan dan persediaan untuk konsert antarabangsa walaupun semasa menjalankan tugas ketenteraan. – AFP, 24 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen