Kapten Switzerland tidak ikut protes lilitan lengan LGBT


Kapten Switzerland Granit Xhaka berkata pasukannya tidak perlu meniru protes tutup mulut dilakukan Jerman terhadap pendirian FIFA yang melarang pemakaian lilitan lengan simbol golongan LGBT. – Gambar AFP, 24 November, 2022.

KAPTEN Switzerland Granit Xhaka berkata pasukannya tidak perlu meniru protes tutup mulut dilakukan Jerman terhadap pendirian FIFA yang melarang pemakaian lilitan lengan tema pelangi – simbol golongan LGBT.

Sebelum perlawanan, pemain Jerman ketika mengambil gambar pasukan melakukan aksi menutup mulut selepas Manuel Neuer tidak dibenarkan memakai lilitan lengan pelangi – “OneLove” susulan diugut berdepan tindakan disiplin oleh FIFA.

Pasukan Jerman tewas dengan Jepun, 2-1 dalam perlawanan itu.

“Saya tidak fikir kita perlu buat apa-apa sebagai pasukan Switzerland. Kita perlu hormat peraturan dan fokus kepada bola sepak, itu saja yang mahu saya lakukan,” kata Xhaka kepada media menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan G antara pasukannya dan Cameroon hari ini.

“Kami di sini untuk bermain bola sepak, bukannya hendak beri pengajaran kepada sesiapa,” katanya.

Seorang wakil persekutuan bola sepak Switzerland sebelum ini berkata Xhaka “mahu” memakai lilitan lengan itu tetapi sebaliknya memakai lilitan disediakan FIFA dengan mesej anti rasis.

Switzerland antara tujuh pasukan Eropah di mana kaptennya dikatakan akan memakai lilitan lengan untuk menyokong golongan LGBT pada perlawanan di Qatar, di mana aktiviti homoseksual adalah haram di negara Islam. – AFP, 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen