PIHAK berkuasa Tanzania mula melaksanakan catuan bekalan elektrik susulan penurunan janaan di loji hidro akibat kemarau, kata pembekal elektrik negara itu semalam, dengan sebahagian kawasan terputus bekalan selama sembilan jam.
Negara Afrika timur itu mempunyai kapasiti untuk menjana hampir 1,695 megawatt elektrik menerusi kuasa hidro, gas asli dan sumber lain.
Tetapi ia pada masa ini berdepan kekurangan antara 300 dan 350 megawatt, kata Pengarah Urusan Tanzania Electric Supply Company Limited (Tanesco) Maharage Chande.
“Ada dua sebab utama menyebabkan kekurangan bekalan elektrik; kemarau berpanjangan dan penyelenggaraan yang sedang dijalankan di beberapa loji kami,” katanya kepada media di Dar es Salaam.
Antara loji yang terjejas ialah Kihansi di wilayah Morogoro di mana kapasitinya menuerun daripada 180 megawatt kepada hanya 17 megawatt, katanya.
“Paras air menurun di kebanyakan sumber, menyebabkan loji kami tidak dapat menjana bekalan elektrik pada kapasitinya,” kata Chande.
Negara itu sedang mencuba meningkatkan kapasiti kuasa hidronya termasuk menerusi pembinaan projek empangan Julius Nyerere di rizab Selous Game yang dijangka dapat menghasilkan 2,100 megawatt bila ia beroperasi nanti.
Tanzania sama seperti negara jirannya mengalami kekurangan hujan dan monsun, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mencatu bekalan air di Dar es Salaam bulan lalu akibat kemarau.
Kenya, Somalia dan Ethiopia sedang mengalami kemarau paling buruk dalam tempoh empat dekad dengan musim hujan menyebabkan kematian ternakan dan tanaman mereka. – AFP, 24 November, 2022.
Komen