Masa untuk masyarakat sivil bersuara di Parlimen, kata Ambiga


Kamles Kumar

Pengerusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Ambiga Sreenevasan berkata penglibatan aktivis dalam politik adalah strategi baru untuk memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil serta hak asasi manusia terus ke Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

SUDAH tiba masanya masyarakat sivil mengambil laluan terus dalam mempengaruhi penggubalan dasar, kata Pengerusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Ambiga Sreenevasan hari ini dan memuji langkah aktivis Maria Chin Abdullah dan penganalisis Wan Saiful Wan Jan ke dalam bidang politik.

“Platformnya berbeza. Ia adalah strategi baru. Berguna untuk memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil serta hak asasi manusia terus ke Parlimen.

“Bawa semua perjuangan ini ke Parlimen dan terus mengutarakan pandangan mereka yang mendorong pembaharuan,” kata Ambiga pada sidang akhbar pagi tadi di mana Maria mengumumkan peletakan jawatannya daripada Bersih 2.0.

Maria berkata beliau berundur sebagai pengerusi Bersih untuk bertanding sebagai calon bebas atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum Ogos.

Ambiga, yang juga bekas presiden Majlis Peguam, berkata walaupun terdapat kritikan terhadap tindakan Maria, sudah tiba masanya kumpulan masyarakat sivil melakukan sesuatu yang lebih drastik.

“Beliau tidak akan ditolak. Beliau akan bercakap apa yang dalam fikirannya.

“Akan ada kecaman tetapi sudah tiba masanya kita berfikir di luar kotak untuk melakukan sesuatu yang berbeza bagi meneruskan agenda pembaharuan,” kata Ambiga.

Maria berkata beliau akan kekal sebagai calon bebas untuk memelihara suara masyarakat sivil.

“(Ini adalah) menjaga agenda saya, iaitu untuk pembaharuan. Saya akan mempunyai ruang untuk meletakkan posisi aya sendiri, jika terdapat isu kontroversi tertentu.

“Berada di Parlimen akan menjadi sesuatu yang sukar. Saya rasa mempunyai platform sebagai seorang bebas akan membolehkan saya terus fokus,” katanya.

Maria juga bersetuju kehadiran Wan Saiful dan beliau di Dewan Rakyat akan meningkatkan kualiti perdebatan intelektual.

“Inilah masanya kita membawa perdebatan yang berkualiti. Apa yang kita mahukan adalah dasar dan undang-undang yang baik. Kita perlu menuju sesi Parlimen yang inklusif dan perdebatan yang baik,” katanya.

Maria mengambil alih kerusi Bersih 2.0 daripada Ambiga pada 2013.

Selama lebih tiga dekad, Maria terlibat dalam aktivisme Malaysia, dengan fokus pada pergerakan wanita.

Pada 1993, beliau berkahwin dengan aktivis Yunus Ali, yang ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1980-an.

Maria yang kini berusia 62 tahun itu pernah ditahan di bawah undang-undang yang sama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), pada November 2016 dan diadakan dalam kurungan bersendirian selama 10 hari. – 6 Mac, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen