6 mati, pengurus Walmart lakukan tembakan rambang


SEORANG pengurus syif malam di Walmart menembak dan membunuh enam mangsa di pasar raya itu yang penuh sesak dengan orang ramai yang membeli-belah sempena sambutan Thanksgiving.

Penyerang berusia 31 tahun itu kemudian menembak dirinya sendiri, kata pihak berkuasa.

Insiden itu adalah tragedy tembakan rambang berprofil tinggi yang kedua berlaku di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat hari.

Empat lagi mangsa masih berada di hospital.

Kejadian itu berlaku di Chesapeake, Virginia, kata ketua polis Mark Solesky.

Penembak berusia 31 tahun itu dipercayai mati kerana kecederaan tembakan, kata Solesky.

Pihak berkuasa mengenal pasti penembak itu sebagai Andre Bing, penduduk asal Chesapeake dan menggunakan sepucuk pistol dan peluru.

Walmart mengesahkan Bing adalah ketua pasukan syif malam berkenaan, dan bekerja dengan syarikat itu sejak 2010.

Seorang pekerja Briana Tyler – yang terselamat dalam serangan itu – menggambarkan insiden itu sangat mengerikan apabila pengurus stor terbabit masuk ke dalam bilik rehat kakitangan, dan mula menembak.

“Dia tidak menyasarkan sesiapa. Dia hanya tembak saja di bilik rehat itu dan saya nampak beberapa orang jatuh di atas lantai, sama ada mereka cuba mengelak atau mereka terkena tembakan,” katanya.

Katanya, penembak itu memandangnya dan melepaskan tembakan tapi tidak kena.

“Dia tidak cakap apa-apa langsung,” kata Tyler.

Serangan itu berlaku dua hari sebelum musim cuti rakyat AS, dan kurang seminggu daripada serangan di kelab gay di Colorado yang menyebabkan lima terbunuh.

Dan kurang 10 hari lalu, tiga pelajar di Universiti Virginia terbunuh pada 13 November akibat seorang rakan sekelas melepaskan tembakan selepas pulang dari lawatan. – AFP, 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen