Polis tangkap lelaki ancam bunuh Agong


POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun selepas dia memuat naik hantaran di media sosial mengancam untuk membunuh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut laporan, lelaki itu telah menggunakan akaun Instagram peribadinya untuk memuat naik kandungan tersebut berserta gambar Seri Paduka Baginda.

Hantaran itu kemudiannya tular sehingga netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed dijangka mengeluarkan kenyataan susulan penangkapan lelaki itu malam tadi di Kajang.

Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata berkata polis telah mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 serta pembentukan kerajaan.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” menurutnya. – 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen