Ahli Parlimen GPS, BN menghadap Agong


The Malaysian Insight

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilihat tiba ke Istana Negara sekitar jam 11 pagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 November, 2022.

AHLI Parlimen parti GPS dan BN tiba di Instana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dalam usaha rundingan bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilihat tiba ke Istana Negara sekitar jam 11 pagi bersama timbalannya Mohamad Hasan.

Wakil rakyat berkenaan dititahkan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas PN enggan membentuk kerajaan perpaduan dengan lawannya PH.

GPS pula dilaporkan menghantar lima ahli Parlimen untuk menghadap baginda bagi mewakili empat parti komponen dengan diketuai ketua whip Fadillah Yusof.

Empat lagi Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Aaron Ago Dagang (Parti Rakyat Sarawak) dan Alexander Nanta Linggi (Parti Pesaka Bumiputera).

Kedua-dua pengerusi gabungan PN dan PH, Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim menghadap baginda semalam untuk mempersembahkan jumlah sokongan yang diterima masing-masing.

Sokongan kepada calon perdana menteri kini bergantung pada dukungan ahli parlimen BN dan juga GPS.

BN mengadakan satu lagi mesyuarat pada malam tadi selepas membuat ketetapan awal untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

BN juga mengadakan pertemuan dengan calon perdana menteri PH yang juga pengerusi gabungan tersebut Anwar Ibrahim.

Rundingan yang masuk hari keempat hari ini masih gagal mencapai persetujuan selepas parti berkenaan diberi tempoh sehingga 2 petang semalam untuk mengemukakan calon perdana menteri.

PH yang menang 83 kerusi muncul gabungan dengan kerusi terbanyak diikuti PN 73 kerusi.

Kedua-duanya memerlukan dukungan gabungan dan parti politik lain untuk mencapai 112 majoriti mudah bagi membentuk kerajaan di Parlimen.

GPS menambah satu kerusi lagi iaitu Baram semalam, menjadikan keseluruhan 23 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU15.

Gabungan itu pada Ahad menyatakan kesediaan untuk membentuk kerajaan campuran dengan PN, BN dan GRS. – 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen