Peluang Maria Chin menang hanya di kerusi bandar, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Maria Chin Abdullah, yang akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan, diyakini akan lebih mudah diterima oleh pengundi bandar yang bersikap lebih terbuka dan matang serta lebih maklum akan sumbangannya dalam aktiviti melalui Bersih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

BEKAS Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah hanya ada peluang menang pilihan raya sekiranya bertanding di kerusi parlimen dalam kawasan bandar yang mempunyai pengundi campuran, kata penganalisis politik.

Maria, yang akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH), diyakini akan lebih mudah diterima oleh pengundi bandar yang bersikap lebih terbuka dan matang serta lebih maklum akan sumbangannya dalam aktiviti melalui Bersih.

“Tetapi kalau tempat itu kerusi bandar dan mempunyai bilangan pengundi Melayu yang lebih ramai, seperti di Titiwangsa, sukar juga untuk dia menang.

“Peluang untuk Maria menang bergantung kepada faktor pola pengundian, di kerusi pengundi Cina lebih 35%, dia ada peluang,” kata Ahmad Martadha Mohamed, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Kecenderungan pengundi luar bandar kebiasaannya adalah kepada Barisan Nasional (BN), tetapi di kawasan bandar dan separa bandar, PH ada peluang, contohnya di Ampang, Petaling Jaya, dan Kepong.

“Namun kita juga perlu lihat kepada komposisi kaum di kawasan itu termasuk juga sejarah kemenangan sama ada BN atau PH,” katanya.

Maria meletak jawatan sebagai pengerusi Bersih 2.0 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket bebas mewakili PH.

Ahmad Martadha berkata, faktor calon semata-mata juga tidak menentukan kemenangan mudah bagi Maria.

Antara wakil rakyat yang mencipta sejarah pernah bertanding sebagai calon bebas dan berjaya memenangi kerusi yang ditandinginya adalah Shahrir Samad dan Abdul Jabar Mohd Yusof.

Shahrir bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Johor Baru pada 1988 dan memenangi kerusi itu, manakala Abdul Jabar berjaya mengekalkan kerusi DUN Batu Laut selama tiga penggal berturut-turut antara tahun 1974 hingga 1982.

“Ini adalah eksperimen bagi PH, sekiranya berjaya dalam PRU14, berkemungkinan ia akan berlaku lagi dalam pilihan raya akan datang.

“Kumpulan aktivis ini perlu diberi perhatian kerana mereka tidak mewakili mana-mana parti, tetapi dilihat sebagai bergerak sendiri apabila bertanding dalam pilihan raya,” kata penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi.

Beliau berkata, PH bagaimanapun menanggung risiko kehilangan kerusi apabila meletakkan Maria sebagai calon mereka.

“Sebagai satu eksperimen, PH kena tanggung risikonya, tetapi kalau dia bertanding di kerusi bandar, peluangnya ada untuk menang, kalau kerusi majoriti Melayu di luar bandar, dia tidak akan diterima,” katanya.

Sementara itu, Azizudin Sani, pensyarah politik Universiti Utara Malaysia berkata, keputusan Maria itu melihatkan pendirian Bersih 2.0 selama ini berat sebelah kepada PH dan bukan merupakan badan bebas yang memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih.

“Keputusan itu membuktikan Bersih bukanlah badan bebas tetapi ada tangan-tangan PH. Mungkin pada dia nak betulkan sistem perlu masuk politik,” katanya.

Tambahnya, Maria juga tidak mempunyai penyokong akar umbi seperti mana ahli-ahli politik lain sekaligus menyukarkannya untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu.

“Dia tiada akar umbi… dia kena tanding di kerusi campuran pengundi bukan Melayu yang agak tinggi,” kata Azizuddin lagi. – 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen