Hewlett Packard rancang hentikan 6,000 pekerja


Hewlett Packard mengumumkan pelan pemberhentian 6,000 pekerja ketika ia mengumumkan penurunan pendapatan sebanyak 11.2 peratus kepada AS$14.8 bilion untuk suku fiskal akhir 2022. – Gambar AFP, 23 November, 2022.

PEMBUAT komputer, Hewlett Packard (HP) pada Selasa berkata ia akan menghentikan perkhidmatan 6,000 pekerja dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana ekonomi dunia yang merosot turut melibatkan sektor teknologi Amerika Syarikat (AS).

HP, yang mempunyai kira-kira 61,000 pekerja, berkata ia menyasarkan untuk memperoleh penjimatan tahunan AS$1.4 bilion sehingga 2025 kerana ia mengikuti laluan penjimatan kos gergasi teknologi lain seperti Meta, Amazon dan Twitter.

Pelan itu “akan membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dan memacu penciptaan nilai jangka panjang dengan mengurangkan kos kami dan melabur semula dalam inisiatif pertumbuhan utama untuk meletakkan perniagaan kami bagi masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HP Enrique Lores dalam satu kenyataan.

Meta awal bulan ini berkata ia akan memberhentikan lebih 11,000 kakitangannya manakala Twitter menyaksikan separuh daripada 7,500 pekerjanya dipecat hanya beberapa hari selepas syarikat itu diambil alih oleh jutawan Elon Musk pada akhir Oktober.

“Ini adalah keputusan paling sukar yang perlu kami buat, kerana ia memberi kesan kepada rakan sekerja yang kami amat ambil berat. Kami komited untuk melayan orang dengan berhati-hati dan hormat…” kata jurucakap HP dalam e-mel kepada AFP.

HP, yang membuat perkakasan komputer dan pencetak, mengumumkan pelan pemberhentian itu ketika ia mengumumkan penurunan pendapatan sebanyak 11.2 peratus kepada AS$14.8 bilion untuk suku fiskal akhir 2022. – AFP, 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen