PEMILIK Manchester United berkata pada Selasa mereka bersedia untuk menjual kelab itu, berpotensi menutup tirai 17 tahun yang sengit di bawah keluarga Glazer.
Sebelum ini didedahkan pemain bintang Cristiano Ronaldo telah meninggalkan kelab itu dengan “serta-merta.”
Pergolakan sejak berminggu-minggu nampaknya telah berakhir apabila United mengumumkan kontrak Ronaldo telah ditamatkan atas persetujuan bersama bagi menamatkan penggal keduanya di Old Trafford.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas laporan berita keluarga Glazer yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) juga mungkin akan menjual kelab bola sepak Inggeris itu.
“Lembaga pengarah akan mempertimbangkan semua alternatif strategik, termasuk pelaburan baharu ke dalam kelab, penjualan, atau transaksi lain yang melibatkan syarikat,” kata United dalam satu kenyataan.
The Glazers tidak popular di kalangan penyokong sejak pengambilalihan £790 juta (AS$934 juta) pada 2005.
The Red Devils tidak memenangi kejuaraan Liga Perdana sejak kempen terakhir Ferguson pada 2012/2013 dan gagal memenangi sebarang trofi sejak 2017.
United kini menduduki tangga kelima Liga Perdana, 11 mata di belakang pendahulu Arsenal.
“Kami akan menilai semua pilihan untuk memastikan kami memberi perkhidmatan terbaik kepada peminat kami dan Manchester United memaksimumkan peluang pertumbuhan ketara yang tersedia untuk kelab hari ini dan pada masa hadapan,” tambah Avram dan Joel Glazer, pengerusi dan pengarah eksekutif bersama kelab.
Kenyataan itu juga mengiktiraf keperluan untuk pelaburan dalam pembangunan semula stadium.
Old Trafford kekal sebagai stadium kelab terbesar di England dengan kapasiti 74,000 tetapi tidak mengalami peningkatan ketara sejak 2006. – AFP, 23 November, 2022.
Komen