37 maut nahas babit 3 bas di Nigeria


SEKURANG-KURANGNYA 37 orang maut pada Selasa apabila tiga bas bertembung di luar bandar Maiduguri di timur laut Nigeria, kata agensi keselamatan jalan raya negara itu.

Kemalangan itu berlaku apabila dua bas komersial bertembung dan terbakar, sebelum bas ketiga kemudian merempuhnya, kata Utten Boyi, ketua agensi keselamatan jalan raya bagi negeri Borno.

“Setakat ini, 37 orang disahkan meninggal dunia dan kebanyakannya melecur sehingga tidak dapat dikenali,” kata Boyi.

Perlanggaran itu berlaku berhampiran perkampungan Jakana, kira-kira 35km di luar Maiduguri, ibu negeri Borno.

Perlanggaran berlaku apabila tayar salah sebuah bas pecah dan melanggar kenderaan yang datang dari arah bertentangan, kata Boyi sambil menyalahkan “melebihi had laju” sebagai punca kemalangan itu.

Kemalangan sering berlaku di jalan raya Nigeria yang tidak diselenggara dengan baik, negara paling ramai penduduk di Afrika, disebabkan sebahagian besarnya oleh kelajuan dan mengabaikan peraturan lalu lintas.

Terdahulu pada Selasa, 17 orang terbunuh dan empat cedera apabila bas dinaiki mangsa merempuh sebuah trak berhampiran ibu negara Nigeria, Abuja, lapor media tempatan, memetik seorang pegawai keselamatan jalan raya.

Mangsa dalam perjalanan dari timur laut negeri Gombe, menurut laporan media.

Sementara itu, sembilan orang lemas pada Sabtu apabila kereta yang terlebih muatan terjunam ke dalam empangan selepas tayarnya pecah di luar bandar utara Kano, menurut pegawai keselamatan kebakaran. – AFP, 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen