SEMENANJUNG Crimea yang diilhakkan oleh Rusia di Ukraine menjadi sasaran serangan dron pada Selasa, kata pihak berkuasa yang dikawal Kremlin, menambah tentera Moscow di sana sedang “berjaga-jaga”.
Serangan itu berlaku ketika Kyiv mendakwa satu lagi kemenangan wilayah dan hanya beberapa hari selepas Moscow berkata ia mengukuhkan kedudukannya di semenanjung Crimea.
“Terdapat serangan dron,” kata gabenor wilayah pentadbiran Sevastopol di Crimea, Mikhail Razvozhayev, di Telegram.
“Pasukan pertahanan udara kami sedang bekerja sekarang.”
Beliau berkata dua dron “sudah ditembak jatuh”.
Razvozhayev berkata tiada infrastruktur awam rosak dan menyeru penduduk “bertenang.”
Moscow mengilhakkan Crimea pada 2014 selepas demonstrasi prodemokrasi di seluruh negara yang membawa kepada penyingkiran presiden Ukraine yang mesra Kremlin.
Ia menggunakan semenanjung, yang menempatkan beberapa pangkalan tentera Rusia yang penting, sebagai tapak pencerobohan pada Februari ke atas Ukraine.
Tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Ukraine telah melancarkan serangan balas di selatan ke arah Crimea dan awal bulan ini menuntut semula Kherson, ibu kota wilayah yang bersempadan dengan semenanjung Crimea.
Terdapat beberapa letupan di atau berhampiran kawasan tentera Rusia di Crimea sejak Februari, termasuk serangan dron yang diselaraskan ke atas pelabuhan tentera laut utama Rusia di Sevastopol pada Oktober.
Minggu lepas gabenor wilayah yang bersekutu dengan Moscow, Sergei Aksyonov berkata pihak berkuasa sedang mengukuhkan kedudukan di semenanjung tersebut.
“Kerja memasang kubu sedang dijalankan… dengan tujuan menjamin keselamatan semua warga Crimea,” katanya. – AFP, 23 November, 2022.
Komen