PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menerima pakai resolusi mengenai kerjasama PBB-Asean secara konsensus, sempena ulang tahun penubuhan Asean ke-55 dan perkongsian komprehensif 11 tahun antara kedua-dua organisasi.
Resolusi itu yang diluluskan setiap dua tahun sejak 2002, ditaja bersama 115 anggota PBB yang bertujuan mengesahkan dan mempromosi perkongsian antara kedua-dua pertubuhan, lapor Agensi Berita Vietnam.
Resolusi itu menyerlahkan hubungan kukuh antara kedua-dua pihak dan pencapaian utama persatuan, serta kemajuan kerjasama dan Pelan Tindakan mengenai Deklarasi Bersama bagi Perkongsian Komprehensif antara kedua-dua pihak sejak dua tahun lepas.
Usaha cemerlang yang dinyatakan dalam resolusi itu termasuk Sidang Kemuncak Pemimpin Wanita Asean kedua pada Oktober 2022, pelaksanaan Deklarasi Hanoi mengenai Pengukuhan Kerja Sosial Ke Arah Komuniti Asean yang Kohesif dan Responsif, kerjasama dalam rangkaian pusat pengaman, dan kerjasama dalam bertindak balas dan pulih daripada pandemik Covid-19 serta menggalakkan diplomasi pencegahan, mencegah konflik dan membina kepercayaan.
Resolusi itu juga menegaskan bahawa PBB dan Asean akan terus meningkatkan kerjasama dan berkongsi pengalaman dalam banyak bidang penting pada masa akan datang termasuk pembangunan mampan, mengukuhkan dialog mengenai isu keselamatan serantau dan global seperti pencegahan konflik, diplomasi pencegahan serta pelucutan senjata.
Duta Sovann yang juga Wakil Tetap Kemboja ke PBB, menekankan peranan utama Asean di rantau ini dan sumbangannya kepada usaha bersama untuk menjaga keamanan, keselamatan, kestabilan dan pembangunan mampan masyarakat antarabangsa.
Beliau juga menggariskan kepentingan kerjasama antara Asean dan PBB menerusi penganjuran Sidang Kemuncak PBB-Asean ke-12 pada November 2022 dan pelaksanaan Pelan Tindakan bersama bagi tempoh 2021-2025. – Bernama, 23 November, 2022.
Komen