YANG di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mengadap di Istana Negara esok untuk membolehkan baginda memutuskan pelantikan seorang perdana menteri selepas pilihan raya umum, Sabtu lalu.
Majlis mengadap itu akan berlangsung 10.30 pagi esok, dan dibuat secara individu, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.
Majlis mengadap esok adalah untuk Yang di-Pertuan Agong “dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti” sebagai perdana menteri mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Proses ini menyamai apa yang berlaku semasa pelantikan dua perdana menteri sebelum ini pada Mac 2020 dan Ogos 2021.
Kenyataan Istana Negara dikeluarkan selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menerima mengadap pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim pada 4.30 petang tadi.
Sementara itu, pimpinan BN mengesahkan Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat sekali lagi malam ini.
Dalam mesyuarat siang tadi, BN memutuskan untuk tidak bersama dengan PN atau PH untuk membentuk kerajaan.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir juga berkata tiada seorang pun daripada 30 ahli parlimennya telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.– 22 November, 2022.
Komen