PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg enggan mengulas tindakan lanjut yang bakal diambil susulan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyertai mana-mana gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan.
Ditemui pemberita selepas berakhirnya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, beliau sekadar menafikan ada mendengar apa-apa perkembangan politik terbaharu yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, sebarang tindakan akan diambil GPS akan bergantung kepada keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Tengoklah, saya belum tahu keputusan Agong lagi. Saya tidak tahu (keputusan BN). Saya (masih) lagi di Dewan (DUN),” katanya semasa ditemui pemberita di bangunan DUN Sarawak, hari ini.
Pada Ahad lepas, GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan memilih Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.
Bagaimanapun, Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.
Naib Presiden Umno itu menerusi catatan ringkas di laman Facebook memaklumkan setakat ini, BN bersetuju menjadi pembangkang.
GPS ialah gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini. – Bernama, 22 November, 2022.
Komen