YANG di-Pertuan Agong menitahkan Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim mengadap di Istana Negara pukul 4.30 petang ini selepas tiada mana-mana gabungan yang mereka ketuai mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan mereka mengadap selepas Istana Negara melalui speaker Dewan Rakyat menerima pencalonan perdana menteri daripada semua ketua parti dan gabungan parti politik, setakat 2 petang tadi.
“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mengadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Samsuddin.
Sumber kedua-dua pemimpin itu sebelumnya memaklumkan kepada The Malaysian Insight mengenai titah sama dari Istana Negara.
Muhyiddin tiba di Istana Negara lebih kurang pukul 4.05 petang diikuti Anwar beberapa minit kemudian.
Peguam Negara Idrus Harun, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun juga lebih awal tiba di Istana Negara.
Menjelang tempoh akhir 2 petang tadi, Barisan Nasional yang menang 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 memutuskan untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak bersama dengan PN atau PH untuk membentuk kerajaan.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata tiada seorang pun daripada 30 ahli parlimennya telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
BN juga dilapor sedia membuat perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan mana-mana kerajaan minoriti, seperti memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik antara PH dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
The Malaysia Insight difahamkan Muhyiddin yang mengetuai PN mendapat dukungan 105 ahli parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri.
PN yang menang 73 kerusi disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang 23 kerusi serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 6 kerusi. PN juga disokong dua ahli parlimen bebas serta seorang dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
PH yang diketuai Anwar menang 83 kerusi. Gabungan itu dipercayai turut mendapat sokongan daripada Warisan yang mempunyai 3 kerusi.
Awal petang tadi, Yang di-Pertuan Agong menyeru rakyat bersabar dan menerima keputusan rakyat, serta keputusan wakil rakyat dan keputusannya sendiri.
“Kita perlu rasional, kita perlu teruskan. Biar saya buat keputusan segera,” katanya kepada media yang berkumpul di luar istana. – 22 November, 2022.
Komen