Kajian dapati jangkitan bakteria punca kedua kematian di seluruh dunia


Mencuci tangan adalah antara langkah yang dinasihatkan untuk mencegah jangkitan bakteria. – Gambar Pixabay, 22 November, 2022.

JANGKITAN bakteria adalah punca utama kedua kematian di seluruh dunia, menyumbang satu daripada lapan bagi semua kematian pada 2019, anggaran global pertama mengenainya yang didedahkan pada Selasa.

Kajian baharu besar-besaran, yang diterbitkan dalam jurnal Lancet, menyaksikan kematian akibat 33 patogen bakteria biasa dan 11 jenis jangkitan di 204 negara dan wilayah.

Patogen dikaitkan dengan 7.7 juta kematian—13.6% daripada jumlah global—pada 2019, tahun sebelum wabak Covid-19 bermula.

Itu menjadikan ia penyebab utama kematian kedua selepas penyakit jantung iskemik, termasuk serangan jantung, kata kajian itu.

Hanya lima daripada 33 bakteria terlibat bagi separuh daripada kematian tersebut: Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Streptococcus pneumoniae, Klebsiella pneumoniae dan Pseudomonas aeruginosa.

S aureus ialah bakteria biasa dalam kulit dan lubang hidung manusia tetapi di sebalik pelbagai penyakit, manakala E coli biasanya menyebabkan keracunan makanan.

Kajian itu dijalankan di bawah rangka kerja Global Burden of Disease, sebuah program penyelidikan besar yang dibiayai oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates yang melibatkan ribuan penyelidik di seluruh dunia.

“Data baharu ini buat kali pertama mendedahkan tahap penuh cabaran kesihatan awam global yang disebabkan jangkitan bakteria,” kata pengarang bersama kajian Christopher Murray, pengarah Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan yang berpangkalan di AS.

“Amat penting untuk meletakkan keputusan ini dalam radar inisiatif kesihatan global supaya penyelidikan lebih mendalam terhadap patogen maut ini dapat dijalankan dan pelaburan sewajarnya dibuat untuk mengurangkan jumlah kematian dan jangkitan.”

Penyelidikan menunjukkan perbezaan ketara antara wilayah miskin dan kaya.

Di Sub-Sahara Afrika, terdapat 230 kematian bagi setiap 100,000 penduduk akibat jangkitan bakteria.

Jumlah itu jatuh kepada 52 bagi setiap 100,000 orang dalam apa yang disebut kajian itu sebagai “wilayah super berpendapatan tinggi” yang merangkumi negara di Eropah Barat, Amerika Utara dan Australasia.

Penulis menyeru meningkatkan pembiayaan, termasuk untuk vaksin baharu bagi mengurangkan jumlah kematian, juga memberi amaran terhadap “penggunaan antibiotik yang tidak perlu”.

Mencuci tangan adalah antara langkah yang dinasihatkan untuk mencegah jangkitan bakteria. – AFP, 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen