162 maut, ratusan cedera gempa bumi di pulau Jawa, Indonesia


Gempa bumi di wilayah Cianjur menyebabkan ratusan penduduk cedera. – Gambar Facebook, 22 November, 2022.

GEMPA bumi sederhana berukuran 5.6 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 162 orang, dengan ratusan cedera dan yang lain hilang, apabila ia meruntuhkan bangunan dan mencetuskan tanah runtuh di pulau utama Indonesia di Jawa pada Isnin, kata pegawai.

Doktor merawat pesakit di luar rumah selepas gempa bumi, yang dirasai sejauh ibu negara Jakarta, menyebabkan hospital di bandar Cianjur, Jawa Barat terputus bekalan elektrik selama beberapa jam.

“Saya dukacita memaklumkan 162 maut. Sebanyak 326 cedera dengan kebanyakan mereka mengalami patah tulang akibat dihempap dalam runtuhan,” kata Ridwan Kamil, gabenor wilayah Jawa Barat yang paling teruk dilanda, memberitahu sidang akhbar dalam video. Beliau berkata kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak.

Adam, jurucakap pentadbiran tempatan di bandar Cianjur, mengesahkan jumlah kematian itu kepada AFP.

Agensi mitigasi bencana nasional Indonesia, BNPB, masih menyenaraikan jumlah korban pada 62 orang. Disebabkan salah kira, pegawai memberikan angka kematian yang turun naik secara rambang selepas bencana stadium Indonesia bulan lalu.

BNPB berkata 25 orang masih terperangkap di bawah runtuhan ketika misi menyelamat berlarutan sehingga malam.

Agensi itu memaklumkan lebih 2,000 rumah rosak dan Kamil berkata lebih 13,000 orang dibawa ke pusat pemindahan.

Kamil berkata bekalan kuasa dipulihkan sebahagiannya menjelang petang, tanpa menyatakan sama ada ia dimaksudkan dengan penjana atau sambungan ke grid kuasa.

Gempa tengah hari itu berpusat di wilayah Cianjur dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini berkata seramai 700 orang cedera, memberi amaran angka kematian mungkin meningkat lagi.

“Oleh kerana masih ramai yang terperangkap di tempat kejadian, kami mengandaikan kecederaan dan kematian akan meningkat dari semasa ke semasa,” kata Kamil.

Agus Azhari, 19, berada bersama ibunya yang sudah tua di rumah apabila ruang tamu mereka musnah dalam beberapa saat, bahagian dinding dan bumbung runtuh di sekeliling mereka.

“Saya menarik tangan ibu dan kami berlari keluar,” katanya. 

“Saya mendengar orang menjerit meminta tolong dari sekeliling saya,” kata Azhari kepada AFP.

Majoriti kematian dikira di sebuah hospital, kata ketua pentadbiran tempatan Cianjur Herman Suherman, dengan kebanyakan mangsa terbunuh dalam runtuhan bangunan runtuh.

Beliau memberitahu media Indonesia hospital Sayang di bandar itu tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik selepas gempa bumi, menyebabkan doktor tidak dapat membedah mangsa dengan segera.

Lebih ramai pekerja kesihatan diperlukan segera berikutan bilangan pesakit yang ramai, katanya.

Penduduk tempatan bergegas membawa mangsa ke hospital dengan trak pikap dan motosikal, menurut rakaman yang diperoleh AFP. – AFP, 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen