TEXAS akan menghantar anggota tentera dengan kereta kebal di sepanjang sempadannya dengan Mexico sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mencegah kemasukan pendatang tanpa dokumen ke Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.
Pengumuman itu dibuat hanya sebulan sebelum langkah kesihatan Covid menyekat kemasukan suaka politik di negara itu tamat, dan ia mungkin menyebabkan lambakan suaka politik yang sedang menunggu di Mexico.
Gabenor Republikan Texas Greg Abbott berkata cara pengendalian pihaknya dalam isu itu adalah seperti mereka berdepan dengan “pencerobohan”.
“Pengawal Negara Texas menghantar kereta kebal dengan anggota ke selatan sempadan Texas-Mexico, selain menambah jumlah pesawat juang dan usaha keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tindakan ini adalah strategi untuk mengawal had kemasukan pendatang tanpa izin. Tentera akan melakukan langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini bagi melindungi sempadan kita,” katanya.
Kemasukan pendatang dari Amerika Latin ke AS menerusi sempadan Mexico meningkat sejak beberapa bulan terakhir ini.
Antara Oktober 2021 hingga hujung September 2022, pihak berkuasa AS menyekat 2.3 juta pendatang asing di sempadan, menurut data daripada jabatan kastam.
Abbot minggu lalu menghantar surat kepada Presiden Joe Biden menyalahkannya kerana mewujudkan “sempadan terbuka” yang menyebabkan Texas terpaksa “mempertahankan” dirinya sendiri. – AFP, 22 November, 2022.
Komen