SEBUAH pesawat kecil yang membawa lapan individu terhempas ke kawasan perumahan bandar kedua terbesar di Colombia, Medellin pada Isnin, mengorbankan semua di dalamnya, kata pihak berkuasa lapangan terbang.
Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Olaya Herrera pada waktu pagi dan melaporkan kegagalan enjin sebelum merempuh sebuah rumah, menyebabkan kepulan asap hitam tebal ke udara.
Akaun Twitter lapangan terbang itu melaporkan lapan individu dalam pesawat itu—enam penumpang dan dua anak kapal—dilaporkan maut.
Tiada sebarang tanda jika ada yang cedera atau terbunuh di dalam rumah berkenaan.
“Terdapat kemalangan pesawat di sektor Belen Rosales. Kapasiti penuh kerajaan diaktifkan untuk membantu mangsa,” tulis Datuk Bandar Daniel Quintero di Twitter sebelum ini.
Beliau berkata pesawat itu adalah Piper enjin berkembar yang dalam perjalanan dari Medellin ke perbandaran Pizarro di jabatan jiran Choco.
Pesawat itu “memberi isyarat kegagalan enjin semasa berlepas dan tidak berjaya kembali ke lapangan terbang Olaya Herrera,” satu daripada dua yang ada di Medellin.
Pesawat itu merempuh sebuah rumah, memusnahkan tingkat atasnya, menurut imej yang dikongsi oleh perkhidmatan kecemasan. Anggota bomba berusaha memadamkan api yang dicetuskan oleh kemalangan itu.
Medellin terletak di lembah sempit, dikelilingi oleh pergunungan Andes.
Pada 2016, sebuah pesawat yang membawa pasukan bola sepak Chapecoense Brazil kehabisan minyak dan terhempas di pergunungan berhampiran bandar itu, mengorbankan 71 daripada 77 orang di dalamnya, termasuk 16 pemain. – AFP, 22 November, 2022.
Komen