Arab Saudi nafi Opec+ bincang tambah pengeluaran minyak


The Wall Street Journal melaporkan Arab Saudi dan anggota lain dalam Opec+ sedang mempertimbangkan peningkatan pengeluaran minyak sehingga 500,000 tong sehari. – Gambar EPA, 22 November, 2022.

ARAB Saudi pada Isnin menafikan laporan pengeluar minyak sedang membincangkan peningkatan pengeluaran bagi mesyuarat mereka seterusnya, berkata pengurangan yang diluluskan bulan lepas akan kekal sehingga akhir 2023.

The Wall Street Journal melaporkan awal Isnin yang Arab Saudi, yang mengetuai bersama kartel Opec+ bersama Rusia, dan anggota lain sedang mempertimbangkan “peningkatan sehingga 500,000 tong sehari”.

Tetapi Agensi Akhbar Saudi rasmi berkata pada malam Isnin yang menteri tenaga Putera Abdulaziz bin Salman “menafikan” laporan itu.

“Adalah diketahui umum, dan bukan rahsia, yang Opec+ tidak membincangkan sebarang keputusan sebelum mesyuaratnya,” menurut SPA memetik kata Putera Abdulaziz.

Mesyuarat Opec+ seterusnya dijadualkan pada 4 Disember.

Peningkatan dalam pengeluaran sebahagiannya akan membatalkan pengurangan 2 juta tong sehari yang diumumkan oleh blok itu pada Oktober.

Tindakan itu meningkatkan ketegangan antara Riyadh dan Washington, sekutu lamanya, yang mengecamnya sebagai “bekerjasama dengan Rusia” dalam perang Ukraine.

Lebih banyak pengeluaran minyak juga akan dibuat ketika harga sudah jatuh.

Harga minyak dunia menjunam lebih 5 peratus pada Isnin, mencapai paras terendah sejak Januari, susulan ramalan permintaan China.

Pegawai Arab Saudi bersungguh-sungguh mempertahankan pengurangan pengeluaran baru-baru ini dalam menghadapi kritikan daripada Washington, mengatakan ia didorong semata-mata oleh keadaan pasaran dan boleh berubah apabila pasaran berubah.

Putera Abdulaziz mengulangi pendirian itu pada Isnin.

“Pemotongan semasa sebanyak 2 juta tong sehari oleh Opec+ berterusan sehingga akhir 2023 dan jika terdapat keperluan untuk mengambil langkah selanjutnya dengan mengurangkan pengeluaran untuk mengimbangi bekalan dan permintaan, kami sentiasa bersedia untuk campur tangan,” katanya. – AFP, 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen