Umno gagal belajar daripada kesilapan lalu, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Pemerhati melihat wujud elemen sabotaj apabila Zahid menggugurkan beberapa pemimpin pada pencalonan PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

UMNO melakukan beberapa kesilapan yang tidak henti-henti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu yang menyebabkan calon-calon ‘heavyweights’ tewas, hilang dua negeri serta prestasi buruk Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan.

Pemerhati politik memberitahu The Malaysian Insight, Umno juga gagal belajar daripada pilihan raya lalu, tidak menghiraukan sokongan Melayu yang semakin berkurang sejak 2018.

Mereka juga tidak menafikan elemen sabotaj dalam Umno selepas Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan beberapa ‘warlords’ daripada bertanding.

Umno hanya menang 26 Parlimen, salah satu kekalahan terburuk sejak negara merdeka.

Semua nama besar seperti Khairy Jamaluddin, Mahadzir Khalid, Abdul Azeez Rahim dan Tengku Zafrul Abdul Aziz tewas.

Ramai yang tewas di tangan calon Perikatan Nasional yang pertama kali menjadi wakil rakyat.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata Zahid gagal memahami sentimen rakyat boleh berubah dengan mudah sedangkan beliau masih terbuai dengan prestasi cemerlang Umno di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka awal tahun ini.

Tambahnya, kegagalan Umno bersaing dengan PN melalui media sosial sepanjang tempoh berkempen menjadi punca lain mengapa parti Melayu itu kehilangan begitu banyak kerusi kepada PN.

“Jelas sekali Umno tidak belajar daripada kesilapannya. Mereka terbawa-bawa dengan kemenangan PRN Melaka dan Johor. Perkara sama jadi bila mereka buat PRU14 lepas menang bergaya di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Tingkah laku pengundi kerap berubah dan Umno tidak boleh bergantung kepada keputusan di Melaka dan Johor. Tambahan pula mereka menggesa pilihan raya semasa musim tengkujuh, sebab itu mereka ditumpaskan,” katanya.

Hisomuddin berkata pengundi pertama kali termasuk yang atas pagar dipengaruhi oleh kempen dalam talian PN terutamanya melalui TikTok malah katanya pengundi muda tanpa parti lebih memilih PN.

“Ia seperti BN bagi PN tumpang sepanjang tempoh kempen. Mereka tidak cuba lawan atau cabar PN pun. Sebab itu pengundi pertama kali mudah dipengaruhi PN,” kata Hisomuddin.

Pakatan Harapan (PH) menang 76 kerusi, sementara rakan gabungannya DAP Sarawak mendapat lima kerusi dan Muda satu kerusi menjadikan jumlah keseluruhan 82 kerusi.

Perikatan Nasional (PN) dan PAS menang 51 dan 22 kerusi dengan jumlah keseluruhan 73 kerusi.

Barisan Nasional (BN) menang 30, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (2). – 22 November, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen