Perjuangan yang belum dikenali


JAM 5 petang hari mengundi lalu, BN di Sri Gading sudah mula mencabut bendera kempen. Ini petanda awal BN akan kalah. Namun, tak diketahui PN atau PH yang akan mendapat laba dari perkembangan ini.

Menjelang tengah malam 19 November 22, blok politik yang menang sudah kelihatan. Persaingan PRU15 ini sememangnya didominasi oleh PN BN dan PH. GTA Pejuang tenggelam dalam lumpur persaingan ini.

Selain sebagai sebuah parti dan gabungan yang baharu dan kecil, Pejuang kekal dilihat lemah dan bukan saingan kepada 3 kuasa politik dominan itu. Dan PRU15 ini, ia menjadi medan kekalahan terbesar GTA Pejuang di 116 kerusi parlimen seluruh negara.

Prestasi GTA Pejuang kali ini tidak lebih baik daripada PRN Johor Februari 2022 yang lepas.

Keputusan ini hanyalah kesinambungan kepada kekalahan di PRN Johor 2022. Pelajaran dan iktibar dari kekalahan itu, seakan tenggelam dalam ghairah PRU2022.

Yang jelas, ahli-ahli Bersatu yang dahulunya menyokong calon di Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu dan Sri Gading tidak memberikan undi selepas Pejuang ditubuhkan.

Ini suatu petunjuk jelas Pejuang harus berdikari secara total tanpa mengharapkan sokongan masa lalu.

Walaupun mempunyai kelebihan dengan adanya gabungan dari Iman, Berjasa, Putra serta penyertaan dari kalangan NGO, ia masih belum cukup untuk menyakinkan rakyat untuk mengundi GTA Pejuang.

Naratif ini tidak sampai kepada pengundi kerana parlimen dibubar hanya kurang dua bulan selepas GTA ditubuhkan. Dalam kurang dari 6-7 minggu, tak mungkin mesej GTA Pejuang dapat disampaikan kepada 21 juta pengundi.

Dalam keadaan lemah dan serba kekurangan ini, hakikatnya Pejuang memasuki PRU15 dalam keadaan tidak bersedia, tanpa naratif yang jelas dan tanpa dukungan material termasuk sumber kewangan.

Ramai calon GTA Pejuang tak dapat membayar deposit PBT untuk bahan kempen kerana ketiadaan sumber kewangan. Maka bahan kempen yang ada tidak dapat digunakan sama sekali.

Realiti ini tak disedari oleh rakyat kerana mereka percaya dengan dakyah musuh politik Tun M kaya, kekayaannya disimpan di luar negara dan sebagainya. Ramai beranggapan calon-calon GTA Pejuang dibekalkan dengan berjuta wang kempen. Namun pada hakikatnya, tiada.

Ada yang menyindir ‘dah tau tak ada wang, buat apa masuk bertanding, tempah nahas’. Sindiran ini perlu kita terima dengan lapang dada dan ini jugalah hakikat politik zaman ini – tiada wang maka tiada sokongan dan tiadalah undi.

Parti-parti seperti BN, PN dan PH yang lengkap dengan segala kekuatan bahan, jentera kempen serta kemampuan memberi sumbangan kepada pengundi, dapat menguasai kempen pilihanraya.

GTA Pejuang dilihat hanya bermodalkan air liur dan bergantung semata-mata pada nama Dr Mahathir Mohamad untuk merayu undi.

Dalam konteks yang lebih besar sebelum ini ramai pemerhati berpandangan keputusan PRU15 ini akan menyaksikan tiada blok politik yang secara solo mampu membentuk kerajaan dengan mudah. Ini benar-benar terjadi.

PH, PN dan BN sungguhpun menang banyak kerusi, tetapi tak mampu menubuhkan kerajaan dengan mudah dan selesa.

Kerana itulah Dr Mahathir pada saat akhir menghulur tangan kepada PN dan PH untuk membentuk kerjasama sebelum memasuki PRU15.

Namun lamaran itu tak diendahkan, mungkin kerana PH dan PN melihat Dr Mahathir tidak lagi releven malah masing-masing merasakan parti masing-masing sudah cukup kuat untuk menang.

Dalam politik, banyak sisi gelapnya. Sama ada kita nampak atau tidak ‘Cash is King’ membentuk dan mendominasi budaya kempen politik. Dengan wang juga, ia akan menentukan kekuatan dan sokongan parti politik.

Parti yang tiada sumber wang tetapi benar-benar mahu bekerja seperti GTA Pejuang dilihat tidak menarik dan relevan.

Zaman berubah, kita terima atau tidak, perjuangan ini harus diteruskan. Dr Mahathir memahami perjuangan ini sebagai suatu Ibadah. Melaksanakan suatu ibadah memerlukan pengorbanan yang besar. Menerima kekalahan, juga sebahagian daripada pengorbanan itu.

Bagaimana kita mahu bangkit dari kekalahan ini, ia lebih penting daripada menuding jari mencari salah orang.

Perjuangan kita, belum dikenali oleh rakyat, inilah hakikatnya.

Rakyat memilih, pilihan itu harus kita hormati dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mengundi.

Bagi mereka yang berjaya, kita doakan agar mereka dapat memegang dan melaksanakan amanah itu dengan sebaik-baiknya. – 21 November, 2022.

* Mahdzir Ibrahim, Timbalan Ketua Penerangan GTA

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen