SERANGAN udara dilancarkan Turki semalam menyebabkan 19 orang awam termasuk dua kanak-kanak maut di wilayah Kurdish di Afrin, Syria, kata badan pemerhati.
Serangan maut itu dilancarkan ke bandar Jandairis berhampiran sempadan turki, kata badan pemerhati hak asasi manusia Syria berpangkalan di Britain.
Serangan diketuai Turki terhadap militan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) berlangsung sejak enam minggu lalu.
Jandairis teruk diserang sejak subuh semalam ketika tentera Turki dan sekutu pemberontak merempuh untuk merampas semula kawasan itu daripada pejuang Kurdish, kata ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Sejak serangan Turki bermula 20 Januari lalu, lebih 170 orang awam termasuk 29 kanak-kanak terbunuh.
Turki menafikan laporan itu berkata ia mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak kematian orang awam.
Badan pemerhati itu berkata 270 pemberontak pro Ankara dan hampir 310 pejuang Kurdish maut.
Sekurang-kurangnya 40 tentera Turki juga terbunuh sejak bermulanya serangan itu, kata Ankara.
Sejak pejuang pro rejim dihantar bagi membantu puak Kurdish di Afrin bulan lalu, kira-kira 58 daripada “pasukan popular” itu terbunuh, katanya.
Ankara berkata YPG ialah lanjutan pengganas daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Tetapi YPG menjadi komponen utama sekutu Kurdish-Arab yang disokong oleh Amerika Syarikat dan melawan kumpulan pengganas Islamic State di Syria.
Lebih 340,000 orang terbunuh sejak perang Syria tercetus pada 2011. – AFP, 6 Mac, 2018.
Komen