PENGERUSI Kumpulan Media The Edge hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Najib Razak mahu menutup 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana masalah hutangnya yang serius.
Tong Kooi Ong, 63 berkata bekas perdana menteri itu memberitahu perkara berkenaan kepadanya dalam satu pertemuan di kediaman Najib, di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2015.
Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata demikian apabila disoal peguam Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib yang melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.
“Selepas saya menjelaskan kepada beliau nota bertulis dan masalah yang timbul (dalam 1MDB), Najib memberitahu saya dia akan menutup 1MDB dan selanjutnya saya berkata seseorang perlu bertanggungjawab.
“Daripada nota taklimat saya, saya dengan jelas menunjukkan AS$700 juta dipindahkan ke Good Star Ltd, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan dia (Jho Low) patut didakwa,” kata Tong.
Tong berkata Najib diam ketika nama Jho Low disebut dan bekas perdana menteri itu bangun lalu membuka pintu untuknya.
Muhammad Shafee: Adakah Najib memberitahu awak , “Tong, sila keluar ?”
Tong: Tidak, beliau tidak ada menyuruh saya keluar. Beliau tidak ada mengeluarkan sepatah perkataan pun.
Ketika ditanya jika setiap kali Tong berada di kediaman Najib, bekas perdana menteri itu mengiringinya sehingga ke pintu, Tong berkata sepanjang ingatannya pertemuan itu adalah kali pertama hanya mereka berdua berada di rumah itu.
Muhammad Shafee: Saya hanya sekadar seorang peguam. Apabila (saya bertemu beliau) beliau mengiringi saya sehingga ke pintu. Mungkin anda merasa sensitif kepada keadaan bahawa taklimat yang anda berikan tidak memberikan apa yang diharapkan, anda fikir beliau menunjukkan pintu untuk anda keluar?
Tong: Dalam minda saya gerak isyarat itu tidak seperti apa yang anda akan jelaskan. Saya terkejut apabila beliau terus bangun, berjalan ke arah pintu dan membukanya … selepas apa yang saya katakan (isu dalam 1MDB) beliau tidak berkata sepatah perkataan pun dan membuka pintu, itu sahaja.
Saksi itu juga berkata Najib merupakan seorang yang sopan dan tidak pernah biadab kepada beliau.
Minggu lepas, Tong memberi keterangan bahawa Najib bangun dan melangkah ke pintu serta membuka pintu untuk beliau selepas memberitahu bekas perdana menteri itu bahawa Jho Low telah melakukan kesalahan dan patut disiasat serta didakwa.
Najib, 69 berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan amaun sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Coliin Sequerah bersambung esok. – Bernama, 21 November, 2022.
Komen