Sokong kerajaan jika ingin tamatkan perang di Syria, kata presiden Iran


Presiden Iran Hassan Rouhani merupakan sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad yang menyediakan penasihat ketenteraan dan menganjurkan pejuang 'sukarelawan'. – Gambar fail EPA, 6 Mac, 2018.

PRESIDEN Iran Hassan Rouhani pada Isnin mengatakan satu-satunya cara untuk menamatkan konflik di Syria adalah dengan menyokong kerajaan negara itu.

“Tidak ada cara lain untuk menyelesaikan krisis Syria selain mengukuhkan kerajaan pusat di Damsyik,” kata Rouhani berikutan pertemuan dengan Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian, menurut laman sesawang pejabat presiden.

Iran menjadi sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad, menyediakan penasihat ketenteraan dan menganjurkan pejuang “sukarelawan”.

Rouhani berkata Perancis dan Iran berkongsi keutamaan yang sama di Syria untuk menghapuskan negara “keganasan”, dan membantu rakyat Syria.

Tetapi Perancis sangat menentang pengeboman ketika ini oleh pasukan Syria di daerah Ghouta di luar Damsyik.

Dalam satu gesaan pada Ahad, Presiden Emmanuel Macron menggesa Rouhani memberi “tekanan yang diperlukan” terhadap sekutu Syria bagi menghentikan serangan “rambang” di wilayah pemberontak itu.

Le Drian memberitahu wartawan yang para pegawai Iran berbincang mengenai “kebimbangan utama mereka terhadap situasi kemanusiaan di Syria dan keinginan untuk melihat malapetaka ini berakhir”. – AFP, 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen