Bila Dewan Tertinggi BN buat keputusan sokong PH, tanya Wee


Presiden MCA Wee Ka Siong yang turut hadir di Hotel Seri Pasific berkata beliau terkilan yang jemputan untuk ke hotel berkenaan bukan sekadar pertemuan sesama ahli Parlimen BN, malah turut dihadiri wakil dari Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 November, 2022.

MCA membayangkan tidak setuju dengan pembentukan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dibincangkan di Kuala Lumpur hari ini serta yang dimuktamadkan di Perak pagi tadi.

PH dan BN juga dilapor akan membentuk kerajaan bersama di Pahang.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata beliau tidak maklum pertemuan ahli parlimen BN dan pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Seri Pacific, bersebelahan dengan ibu pejabat BN, melibatkan pemimpin PH.

“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini.

“Saya tidak tahu sama ada ia telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan,” katanya, dalam satu penjelasan di Facebook.

Menurut Wee, beliau hanya hadir perjumpaan Ahmad Zahid dan semua ahli parlimen BN sahaja.

“Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH,” katanya.

Beliau mengingatkan apa saja keputusan BN perlu dipersetujui dan mendapat mandat Dewan Tertinggi BN.

Pada pilihan raya umum Sabtu, MCA menang dua kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam yang dimenangi Wee sendiri dan Tanjung Piai yang dimenangi Wee Jeck Seng. MCA juga menang satu kerusi negeri di Perak.

Sementara itu, mengenai pembentukan kerajaan negeri PH dan BN di Perak, Wee juga berkata perkara itu tidak pernah dibincang oleh Dewan Tertinggi BN.

Katanya, Dewan Tertinggi BN pun bermesyuarat sejak PRU15. Mesyuarat itu sepatutnya berlangsung malam tadi tetapi dibatalkan oleh Ahmad Zahid.

“Saya sebagai Presiden MCA dan Naib Pengerusi Barisan Nasional tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung.

“Entah dari mana keputusan itu (bentuk kerajaan dengan PH di Perak) dicapai. Dewan Tertinggi BN diketepikan,” katanya.

Pemimpin BN dan PH di Perak mengumumkan dua gabungan itu sepakat membentuk kerajaan bersama dengan mempunyai 33 daripada 59 kerusi di DUN Perak.

Mereka membuat pengumuman dan hebahan itu selepas majlis mengadap Sultan Perak di Istana Kinta, di Ipoh, pagi tadi.

Kota Tampan, Saarani Mohamad, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak petang ini. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen