PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un mengadakan perbincangan dalam mencari jalan penyelesaian bagi meredakan tekanan di Semenanjung Korea bersama utusan khas Korea Selatan, kata agensi berita KCNA, hari ini.
KCNA melaporkan Jong-un mengalu-alukan kedatangan pegawai Korea Selatan ketika lawatan mereka ke Pyongyang semalam dengan menganjurkan majlis makan malam.
Pasukan itu turut menyerahkan surat daripada Presiden Korea Selatan Moon Jae-in.
“Beliau mengadakan perbincangan dengan hati terbuka dengan delegasi utusan khas Korea Selatan berhubung isu berbangkit.
“Ia sebahagian langkah untuk memulihkan hubungan Korea Utara dan Korea Selatan dalam memastikan keamanan dan stabiliti di Semenanjung Korea,” kata KCNA.
Pertemuan Jong-un dengan pegawai paling kanan Korea Selatan ke Pyongyang berlaku kali pertama sejak lebih sedekad lalu dalam langkah terkini selepas usaha pemulihan hubungan antara dua negara Korea itu dimulakan menerusi Olimpik Musim Sejuk lalu.
Delegasi itu mendesak supaya rundingan diadakan antara rejim senjata nuklear itu dengan Amerika Syarikat, selepas Jong-un menghantar adik perempuannya Kim Yo Jong menghadiri Olimpik berkenaan.
Beliau juga menjemput Moon hadir ke sidang kemundak di Pyongyang. – AFP, 6 Mac, 2018.
Komen