BENDAHARI Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein sekali lagi menegaskan beliau tetap tidak menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sesuai dengan keputusan Umno sebelum ini.
Ketua Umno Sembrong berkata beliau rela jika Umno memecatnya atas pendiriannya mempertahankan keputusan parti, namun tidak akan berganjak untuk menyokong PH, yang akan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi – tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Saya rela dipecat parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.
“No Anwar, No DAP – pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” tulisnya di Facebook.
Semalam, Hishammuddin berkata Umno dan BN perlu bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.
“Saya konsisten sejak sebelum ini lagi, dan saya tetap teguh pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” tulisnya semalam.
Hishammuddin membuat kenyataan keduanya hari ini ketika pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH diketuai Anwar.
Pertemuan disertai beberapa ahli Parlimen daripada BN dan PH. – 21 November, 2022.
Komen