AMERIKA Syarikat (AS) pada Isnin menggesa Taliban mempertimbangkan tawaran rundingan damai yang dihulurkan oleh Presiden Afghanistan Ashraf Ghani.
Ghani pada persidangan antarabangsa di Kabul minggu lepas mendedahkan rancangan untuk perbincangan terbuka dengan Taliban, termasuk mengiktiraf mereka sebagai parti politik.
Sebagai balasannya, Ghani berkata militan itu harus secara rasmi mengiktiraf kerajaan dan perlembagaan Afghanistan, faktor yang menjadi konflik dalam percubaan kepada perbincangan terbuka sebelum ini.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengutuk “Proses Kabul”, menulis tweet yang persidangan itu meminta Taliban “menyerah diri”.
Alice Wells, timbalan penolong setiausaha Jabatan Biro Hal Ehwal Selatan dan Asia Tengah, memberitahu pemberita dia terkejut dengan cadangan Ghani.
“Saya mendengar dia menawarkan satu proses yang bermaruah,” katanya.
“Ini bukan tawaran ‘menyerah diri’ kepada Taliban, tetapi satu proses bermaruah untuk mencapai kerangka politik,” katanya, sambil menyatakan persidangan Kabul itu “benar-benar peristiwa penanda aras bersejarah.”
Wells berkata kerajaan Afghanistan “mendengar dengan teliti” permintaan Taliban dan memberi respons kepada beberapa permintaan mereka.
Tawaran Ghani adalah “sangat jelas dan jujur, saya fikir mungkin mengejutkan Taliban,” kata Wells. “Ini adalah tawaran yang berani.”
“Kami sememangnya menggalakkan Taliban untuk mempertimbangkan tawaran ini dengan serius. Ia memberi tanggungjawab terhadap Taliban untuk bertindak balas,” katanya.
Minggu lalu, Taliban berkata ia bersedia untuk mengadakan perbincangan langsung dengan AS untuk mencari “penyelesaian damai” bagi peperangan yang berlangsung lebih 16 tahun.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut tentang rundingan dengan kerajaan Afghanistan - syarat yang lama dinyatakan oleh AS adalah penting bagi sebarang proses damai. – AFP, 6 Mac, 2018.
Komen