AHMAD Zahid Hamidi meminta Speaker Dewan Rakyat memberi lebih masa untuk gabungan itu mengemukakan akuan berkanun mengenai siapa yang disokong untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ia bagi membolehkan rundingan bersama gabungan lain diadakan.
“Setelah Majlis Tertinggi BN membuat rundingan dengan parti lain, kami MP BN secara sepakat akan menghantar SD kepada speaker mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu pada jam 2 petang ini.
“Cuma saya berharap Speaker Dewan Rakyat dapat melanjutkan waktu itu kepada yang lebih fleksibel,” katanya pada sidang media bersama pemimpin PH hari ini.
Antara pemimpin BN yang hadir termasuk Khaled Nordin, Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Maslan, Bung Moktar Radin, Azalina Othman Said dan Mohamad Hasan– semuanya calon parti yang menang pilihan raya.
BN hanya menang 30 kerusi, jauh di belakang PH yang mempunyai 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Keputusan ini menjadikan tiada mana-mana gabungan mempunyai cukup majoriti mudah untuk membentuk kerajaan biarpun lebih 15 juta pengundi keluar mengundi pada Sabtu.
Jumlah ahli parlimen BN dan PH cukup untuk membentuk sebuah kerajaan iaitu sekurang-kurangnya mempunyai 112 kerusi atau majoriti mudah.
Yang di-Pertuan Agong meminta ketua-ketua blok memaklumkan melalui Speaker Dewan Rakyat keputusan mereka mengenai pembentukan kerajaan sebelum 2 petang ini.
Terdahulu Zahid dan pemimpin BN mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
Walaupun pengerusi BN atau pemimpin PH tidak mendedahkan intipati perbincangan di antara mereka, jelas pertemuan itu adalah untuk membincangkan pembentukan gabungan kerajaan persekutuan.
Pertemuan itu diadakan ketika terdapat laporan BN bersetuju membentuk gabungan kerajaan negeri di Perak dan Pahang dengan PH.
PH mempunyai 24 kerusi di Perak manakala BN mempunyai sembilan. Pembangkang Perikatan Nasional mempunyai 26 kerusi. Perak mempunyai 59 kerusi negeri.
Manakala di Pahang BN mempunyai 16 kerusi, PH (8) manakala PN (17).
Zahid berkata peraturan parti menetapkan bahawa hanya majlis tertinggi BN boleh membuat keputusan untuk ahli Parlimennya.
Menurutnya mana-mana ahli Parlimen BN yang telah menandatangani SD untuk menyokong mana-mana orang sebagai perdana menteri daripada gabungan itu adalah tidak sah.
“Ini bertentangan dengan SD yang ditandatangani calon BN sebelum pilihan raya umum,” katanya.
27 ahli Parlimen BN hadir pada pertemuan itu hari ini.
Tiga ahli Parlimen Hishamuddin Hussein, Jalaluddin Alias (Jelebu) dan Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah) tidak hadir.
Di Facebook, Hishamuddin berkata beliau tidak menyokong sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan PH.
“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi - tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan. Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.
“No Anwar, No DAP – pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” tulisnya di Facebook. – 21 November, 2022.
Komen