Kemboja, Laos, Vietnam tubuh sidang kemuncak parlimen


Kemboja, Laos dan Vietnam menandatangani kenyataan bersama mengenai penubuhan sidang kemuncak parlimen CLV di Phnom Penh. – Gambar Facebook, 21 November, 2022.

KEMBOJA, Laos dan Vietnam (CLV) menandatangani kenyataan bersama mengenai penubuhan sidang kemuncak parlimen CLV, menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Perhimpunan Kebangsaan Kemboja.

Kenyataan bersama itu ditandatangani di Phnom Penh oleh Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kemboja Samdech Heng Samrin, Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam Vuong Dinh Hue dan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Laos Saysomphone Phomvihane, lapor Xinhua.

“Sidang kemuncak itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan persahabatan, perpaduan dan kerjasama menyeluruh dalam kalangan negara CLV,” menurut kenyataan akhbar itu.

Selain itu, sidang berkenaan bertujuan menggalakkan pertukaran maklumat, pengalaman dan amalan baik mengenai fungsi serta tugas perhimpunan kebangsaan CLV dan menggembleng sumber kewangan untuk melaksanakan program dan projek di bawah rangka kerja Kawasan Segi Tiga Pembangunan CLV.

Sidang kemuncak pertama akan dihoskan Perhimpunan Kebangsaan Lao pada 2023.

Pemimpin parlimen Laos dan Vietnam berada di Kemboja untuk Perhimpunan Agung ke-43 Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA ke-43) yang diadakan hari ini. – Bernama, 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen