Hanya Majlis Tertinggi BN boleh putuskan kerjasama dengan Pakatan, kata Ismail


Kalidevi Mogan Kumarappa

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob tiba di Hotel Seri Pasific untuk menghadiri pertemuan antara pemimpin BN dan PH pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 21 November, 2022.

HANYA Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang boleh membuat keputusan berhubung gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan, kata naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, yang juga perdana menteri sementara.

Presiden Umno sendiri pun, katanya tiada kuasa untuk membuat keputusan berhubung kerajaan gabungan itu.

“Presiden tiada hak, kerana semua (ahli Parlimen BN) bertanding atas tiket Barisan Nasional.

“Malah Biro Politik Umno sendiri tiada hak untuk buat keputusan, hanya Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang mempunyai kuasa untuk buat keputusan.

“Jadi, biar parti yang buat keputusan berhubung itu,” katanya kepada wartawan sebaik tiba di Hotel Sri Pacific untuk pertemuan dengan pimpinan PH.

Kenyataan Ismail Sabri senada dengan peringatan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang dikeluarkan menjelang pertemuan pagi ini.

Menurut Onn, mandat parti hanya boleh diberi oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Majlis Tertinggi BN, sementara keputusan Umno tidak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP masih kekal.

“Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti.

“Keputusan terakhir Umno adalah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ada hikmahnya,” katanya.

Onn adalah pemimpin Umno pertama yang muncul mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum Sabtu lalu.

Desakannya diulang beberapa pemimpin kanan Umno, antaranya Shahril Hamdan yang juga meletak jawatan ketua penerangan parti dan Noh Omar yang melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor.

Beberapa bahagian Umno serta pemimpin di akar umbi di serata negeri juga membuat desakan sama.

Sementara itu, bekas calon BN di Shah Alam Isham Jalil yang dilantik menggantikan Shahril menggesa BN kekal sebagai pembangkang untuk memenangi hati rakyat yang jelas menolak mereka. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen