Biden sambut ulang tahun ke-80, tapi White House tiada pesta


Presiden AS Joe Biden semalam tidak meraikan ulang tahun kelahirannya ke-80 secara terbuka di White House. – Gambar fail EPA, 21 November, 2022.

PERTAMA kali dalam sejarah, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam tidak dilihat meraikan ulang tahun kelahirannya ke-80 secara terbuka di White House.

Hanya pada sebelah tengah hari, isterinya, Jill Biden berkongsi dua gambar mereka sedang menari dengan berpakaian acara gala dan tuksedo sambil disusuli ucapan penuh kasih sayang.

“Perkara yang paling saya suka ialah menari dengan awak. Selamat Hari Lahir Joe! Saya cintakan awak,” tulis Jill Biden di Twitter.

Hanya terdapat satu ucapan hari lahir dari White House, malah pusat pentadbiran itu tidak menunjukkan sebarang tanda berkenaan sambutan hari lahir presiden secara umum.

Sehari sebelumnya, keluarga Biden menganjurkan majlis agak besar di White House sempena meraikan perkahwinan cucu presiden itu, Naomi, dalam majlis tertutup kepada media.

Biden dilaporkan akan berbincang dengan keluarganya dalam tempoh beberapa hari ini berkaitan sama ada beliau akan bertanding semula pada 2024.

Menerusi sidang media pada 9 November lalu, beliau dan isteri mahu meluangkan masa seminggu sempena sambutan Thanksgiving dan Krismas seterusnya bagi berbincang dengan keluarganya berkenaan perkara itu.

Beliau berjanji mengumumkan secara rasmi keputusan berkaitan sama ada akan bertanding semula pada awal tahun depan.

Kebanyakan tinjauan pendapat yang dilakukan menunjukkan majoriti warga AS tidak mahu Biden bertanding semula.

Dalam arena politik AS, terdapat ramai tokoh berpengaruh berumur lebih 70 atau 75 tahun, namun pilihan raya pertengahan penggal minggu lalu menyaksikan beberapa perubahan dengan pilihan calon muda dalam Parti Demokrat.

Khamis lalu, wakil Kongres Nancy Pelosi, 82, mengumumkan keputusannya tidak bertanding bagi penggal baharu sebagai speaker Dewan Rakyat. – AFP, 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen