SEORANG lelaki yang melepaskan tembakan rambang di sebuah kelab malam LGBTQ di Colorado dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima terbunuh, dihalang oleh dua pengunjung di dalam kelab itu, kata polis.
Suspek dikenal pasti sebagai Anderson Lee Aldrich, 22, dan beliau dikatakan menggunakan senapang dalam insiden itu, di mana pengunjung kelab itu sedang meraikan hari mengenang transgender.
Seramai 18 mangsa cedera dalam insiden itu, kata polis, dan beberapa yang lain masih dalam keadaan kritikal.
Insiden itu adalah terbaru membabitkan serangan di lokasi LGBTQ di Amerika Syarikat (AS), di mana tragedi paling buruk dengan 49 nyawa terkorban ialah di sebuah kelab malam di Orlando, Florida pada 2016.
Suspek terbabit masuk ke kelab Club Q dan serta merta mula menembak ke arah orang ramai di dalam kelab itu, kata Ketua Polis Adrian Vasquez pada sidang akhbar.
Beliau berkata sekurang-kurangnya dua pengunjung yang berani di dalam kelab itu menyerbu dan berlawan dengan suspek hingga dapat menghentikannya daripada terus membunuh dan melepaskan tembakan. – AFP, 21 November, 2022.
Komen