Malaysia berdepan teokrasi, tanpa tanda akan berakhir, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bercakap semasa sidang media di Glenmarie, Shah Alam. Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 November, 2022.

PEMERHATI politik melahirkan kebimbangan bahawa Malaysia boleh menyaksikan kebangkitan gabungan teokratik konservatif selepas tiada parti politik dapat membentuk kerajaan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mereka juga berkata dengan PAS mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam Perikatan Nasional, negara tidak akan melihat sebarang proses penyembuhan kerana gabungan itu boleh melaksanakan lebih banyak agenda Islam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata gabungannya yakin dapat membentuk kerajaan Persekutuan selepas memperoleh 73 kerusi. 

Ahli Parlimen Pagoh semalam mengadakan pertemuan dengan Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak Abang Johari Openg.

GPS semalam mengumumkan mereka bersetuju membentuk kerajaan gabungan dengan Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberikan 131 kerusi di Dewan Rakyat dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Semua pemimpin pakatan kini perlu memaklumkan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sama ada mereka memperoleh majoriti Parlimen dan menyerahkan pilihan perdana menteri mereka kepada Istana Negara sebelum 2 petang hari ini.

Dr Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia berkata negara semakin teruk kerana terdapat kemungkinan besar gabungan teokratik konservatif dibentuk dengan banyak perhatian tertumpu terhadap agama dan kaum.

“Saya tidak nampak sebarang proses penyembuhan. Jika ada, ia memecahbelahkan lagi negara antara blok konservatif dan reformis,” kata Oh.

Badrul Hisyam Ismail dari Iman Research yang turut bersetuju dengan kenyataan Oh mempersoalkan peranan masa depan Malaysia di peringkat antarabangsa dan pendirian geopolitiknya.

Badrul berkata Pakatan Harapan (PH) sepatutnya dibenarkan berunding dengan parti politik lain terlebih dahulu sebelum PN kerana mempunyai bilangan kerusi yang lebih tinggi. PH memenangi 82 kerusi berbanding PN 73 kerusi.

“Jika kita ikut konvensyen demokrasi, PH sepatutnya dibenarkan membentuk kerajaan kerana mereka adalah blok terbesar tetapi jika mereka tidak boleh maka kemungkinan besar kita akan melihat kerajaan pimpinan PN,” katanya.

Badrul menambah kini negara akan kurang mendengar rungutan isu sentimen Melayu-Islam dan ini katanya akan menurunkan suhu kekacauan politik.

“Dengan kemenangan PN isu Melayu-Islam akan berkurangan kerana PN bakal menjadi kerajaan sayap kanan yang konservatif. Melainkan jika PH berkuasa, kita akan mendengar lagi banyak rungutan mengenai Melayu Islam,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala ahli gabungannya DAP Sarawak lima kerusi dan Muda satu dengan jumlah keseluruhan 82 kerusi.

Perikatan Nasional (PN) dan PAS masing-masing memenangi 51 dan 22 kerusi dengan jumlah gabungan 73 kerusi.

Barisan Nasional (BN) menang 30, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan masing-masing dua calon bebas.

Badrul berkata beliau sangsi dengan keupayaan PN untuk memperbaiki ekonomi negara selepas gabungan itu kehilangan beberapa ahli Parlimen kanan dan berpengalaman kepada calon PH.

“Mereka kehilangan ahli Parlimen kanan seperti Azmin Ali, Kamaruddin Jaafar, Rashid Hasnoon dan Mansor Othman dan sudah tentu dengan PAS menang besar, mereka akan menuntut portfolio penting.

“Mereka perlu mengemukakan RUU355, mereka akan memperkasakan mahkamah syariah dan undang-undang Islam dan yang paling membimbangkan ialah orang bukan Melayu dan bukan Islam akan menjadi warganegara kelas kedua.

“Kita mesti bertanya apakah peranan yang boleh dimainkan Malaysia sekarang sekiranya PN berkuasa. Dari segi geopolitik di mana kedudukan kita. Saya tidak nampak PN beraksi dengan baik di pentas antarabangsa khususnya PAS.

“Sejujurnya, PAS hanyalah ‘jaguh kampung’. Kalau kita lihat ucapan mereka sebelum ini semuanya berunsurkan kaum dan agama. Bila kali terakhir kita mendengar PAS atau Bersatu bercakap tentang bagaimana untuk membaiki masalah ekonomi,” kata Badrul.

PN mesti henti guna isu kaum dan agama

Ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali menegaskan PN harus belajar bagaimana untuk bertindak sebagai kerajaan.

Beliau berkata taktik gabungan itu untuk mengumpul sokongan dengan memainkan sentimen berasaskan kaum tidak boleh digunakan lagi.

“Menggunakan agama dan bangsa adalah perkara paling mudah untuk mendapat sokongan orang Melayu luar bandar. Ia terbukti PN berjaya memenangi banyak kerusi di kawasan luar bandar seperti di Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Mereka tidak boleh menggunakan taktik itu lagi apabila mereka berkuasa. Untuk membawa kestabilan PN tidak boleh menggunakannya kerana ia tidak akan diterima.

“PN mesti mencari jalan untuk mengukuhkan ringgit dan ekonomi daripada melihat isu-isu remeh. Apa yang rakyat ingin tahu adalah mengenai masa depan dan hala tuju negara,” kata ahli akademik itu.

PN tidak boleh membentuk kerajaan sendiri. Ia mesti bekerjasama dengan BN (30 kerusi), GPS (22 kerusi) dan GRS (enam kerusi).

PH boleh membuat perjanjian dengan BN untuk membentuk kerajaan majoriti mudah dengan 112 kerusi.

Walaupun mustahil untuk PH dan PN bekerjasama, kedua-dua parti jika bersetuju untuk mengenepikan perbezaan boleh membentuk kerajaan majoriti dengan 155 kerusi.

PH juga boleh bekerjasama dengan GPS, GRS dan Warisan atau dengan BN, GPS dan GRS. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen