PN sudah ada majoriti untuk tubuh kerajaan baharu, kata Presiden SAPP


Kalidevi Mogan Kumarappa

Yong Teck Lee turut memaklumkan beberapa ahli Parlimen BN turut menyokong PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) sudah sudah ada majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan termasuk beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Yong Teck Lee berkata kerjasama itu tidak membabitkan Pakatan Harapan (PH).

“PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) sudah ada majoriti, memang banyak ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk BN. Kita tunggu pengumuman secepat mungkin.

“Dengan kedudukan masa kini, kita yakin secepat mungkin akan selesai, secepat mungkin,” katanya kepada wartawan ketika meninggalkan perkarangan kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata majoriti tersebut diperoleh berdasarkan sokongan ahli Parlimen pelbagai parti kepada PN bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan parti-parti yang menyokong dan jumlah sebenar ahli Parlimen yang memberikan sokongan tersebut.

Ketika ditanya sama ada pemimpin BN itu termasuk Presiden Umno, Zahid Hamidi, pemimpin Sabah itu enggan mengulas lanjut.

“Secepat mungkin ada berita,” katanya.

Fadhli Shaari ketika ditemui sebelum beliau meninggalkan kediaman Muhyiddin Yassin, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 November, 2022.

Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata rundingan untuk menubuhkan kerajaan Pusat masih lagi berlangsung ketika ini.

Ketika ditanya sama ada PN menubuhkan kerajaan dengan sokongan BN, ahli parlimen Pasir Mas itu berkata pihaknya akan mengkaji pelbagai kemungkinan.

“Kita akan lihat pelbagai kemungkinan, pelbagai senario sudah dikaji. Bagaimanapun, setakat ini pasti tidak melibatkan PH,” katanya.

Lebih awal, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan konvoinya meninggalkan pekarangan kediaman Muhyiddin sekitar jam 4.30 petang.

Beliau sempat menurunkan cermin kenderaan untuk melambai kepada wartawan namun tidak mengulas sebarang perkembangan berhubung rundingan tersebut.

Sekitar lima minit kemudian, kenderaan membawa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula meninggalkan perkarangan kediaman Muhyiddin. 

Hari ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua ketua parti dan gabungan politik perlu memaklumkan Speaker Dewan Rakyat jika mereka memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan selain menyerahkan nama calon perdana menteri kepada istana sebelum jam 2 petang esok.

Pada PRU15 semalam, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, BN 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan dua calon Bebas. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen