THAILAND dan Amerika Syarikat (AS) komited mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai aspek terutamanya membabitkan perdagangan, ekonomi dan keselamatan, serta iklim dan alam sekitar.
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha dan Naib Presiden AS Kamala Harris mengadakan mesyuarat dua hala pada Sabtu selepas menghadiri mesyuarat pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dari 17 hingga 19 November di Thailand.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua pihak berpuas hati terhadap kerjasama erat Thailand-AS yang terus menyaksikan peningkatan dinamik serta menekankan komitmen bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek, sama ada di peringkat dua hala mahupun serantau.
Mengenai kerjasama ekonomi, Prayuth menjelaskan terdapat peningkatan perdagangan dua hala walaupun berdepan pandemik Covid-19 dan mencerminkan daya tahan rantaian bekalan.
“Kedua-dua pihak komited membangunkan lagi kerjasama rantaian bekalan berdasarkan memorandum Thailand–AS mengenai mempromosikan ketahanan rantaian bekalan yang ditandatangani pada Julai 2022.
“Perdana Menteri (Prayuth) juga menekankan kesediaan untuk bekerjasama dengan AS bagi menggalakkan lagi kerjasama dalam pelaburan di Thailand khususnya tenaga bersih, kenderaan elektrik (EV), elektronik pintar, industri digital dan industri hab perubatan,” menurut kenyataan itu.
Mengenai kerjasama berkaitan iklim dan alam sekitar, agensi berkaitan sedang membangunkan program di bawah inisiatif dunia sifar bersih AS untuk menyokong peralihan Thailand kepada pelepasan tenaga sifar serta potensi untuk meningkatkan kerjasama pembinaan kapasiti tenaga bersih di bawah infrastruktur asas untuk penggunaan bertanggungjawab teknologi modular kecil (FIRST).
Kenyataan itu memaklumkan Prayuth dan Harris turut membincangkan mengenai perkongsian kukuh keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang dalam menangani cabaran keselamatan konvensional dan moden.
“Kedua-dua pihak menjalin kerjasama erat bagi meningkatkan pembinaan kapasiti dalam penguatkuasaan undang-undang dan mencegah jenayah transnasional termasuk memerangi penyeludupan narkotik, meningkatkan keupayaan rondaan marin dan anti pengubahan wang haram.
Sementara itu, Prayuth juga menegaskan komitmen untuk bekerjasama di bawah Strategi Kerjasama Ekonomi Ayeyawady–Chao Phraya–Mekong (ACMECS) dan Mekong–Perkongsian AS, bagi kemakmuran rakyat di rantau ini.
“AS juga merancang untuk menyediakan dana tambahan AS$20 juta untuk menggalakkan kerjasama pembangunan di sub-rantau Mekong melalui Perkongsian Kuasa Mekong Jepun-AS (JUMPP),” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan Rumah Putih, Harris menegaskan perkongsian berkekalan antara AS dan Thailand yang berteraskan nilai bersama dan membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama merentasi pelbagai isu dua hala dan global.
Harris juga mengalu-alukan “model bio-circular green economy” Prayuth dan dilihat sebagai usaha penting mempercepatkan tindakan menangani krisis iklim.
“Mereka membincangkan usaha bersama untuk meningkatkan kerjasama iklim, mengurangkan pelepasan, meningkatkan penyesuaian iklim dan daya tahan serta membuka peluang ekonomi yang berkaitan tenaga bersih dan tindakan iklim-termasuk bekerjasama dengan sektor swasta mengenai tenaga bersih dan teknologi nuklear,” kata beliau.
Harris mengalu-alukan kepimpinan Thailand di subrantau Mekong dan mengukuhkan komitmen AS untuk mempromosikan keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan dengan kerjasama Mekong.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu global termasuk pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan pelanggaran piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Harris turut menyuarakan mengenai krisis yang semakin meruncing di Myanmar dan menekankan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap rakyat ketika mereka berusaha memulihkan demokrasi negara mereka.
Beliau mengutuk kekejaman berterusan dan pencabulan hak asasi manusia oleh junta.
“Naib Presiden menjelaskan Amerika Syarikat bersama-sama rakyat Myanmar,” kata beliau. – Bernama, 20 November, 2022.
Komen